Konflik antara manusia, gajah rekod penurunan - Utusan Malaysia

Konflik antara manusia, gajah rekod penurunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor merekodkan penurunan konflik antara manusia dan gajah liar dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, sepanjang Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 24 kes direkodkan, berbanding 28 kes tahun lalu.

Menurut beliau, majoriti kes berkenaan direkodkan berlaku di kawasan timur negeri ini.

“Walaupun terdapat pengurangan jumlah aduan, namun, Perhilitan Johor akan terus bekerja keras bagi memastikan konflik ini akan terus berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada 18 Mac lalu, pihaknya melaporkan satu kejadian di mana seekor gajah betina dewasa maut setelah dirempuh beberapa buah kenderaan di Batu 7, Jalan Kota Tinggi, Mersing.

Selain itu, Salman turut memberitahu terdapat beberapa video yang dirakamkan orang awam tular di media sosial melibatkan haiwan liar berkenaan.

Menurutnya, video berkenaan merupakan bukti akan sentiasa berlaku pertembungan antara manusia dan gajah liar yang berada di kawasan berkenaan.

“Konflik antara dua hidupan ini turut berlaku di kawasan pertanian, khususnya kawasan ladang kelapa sawit.

“Kebanyakan rakaman menunjukkan haiwan berkenaan sedang melintas jalan raya atau sedang menuju ke habitat mereka di dalam kawasan hutan.

“Kami sedar orang awam membuat rakaman berkenaan kerana berasa bimbang bukan sahaja terhadap keselamatan mereka, tetapi juga kesejahteraan haiwan berkenaan,” ujarnya.

Pihaknya bagaimanapun menegaskan akan terus mengambil langkah proaktif berhubung perkara itu termasuklah mencari jalan untuk memindahkan haiwan-haiwan berkenaan ke lokasi lain yang lebih bersesuaian. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN