TAMPIN: Kluster terbaharu di Negeri Sembilan iaitu Kluster Industri Gunung Mas telah mencatatkan 32 kes positif Covid-19 dengan 21 kes daripadanya merupakan kes baharu.
Mengikut data yang dikongsikan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), kes indeks bagi kluster berkenaan membabitkan
kluster tempat kerja di daerah Tampin dan Kuala Pilah.
Menurutnya, dua kes indeks bagi kluster berkenaan iaitu kes ke-320447 dan kes ke-321,826 dilaporkan positif Covid-19 pada 12 Mac dan 13 Mac lalu hasil saringan individu-individu bergejala.
“Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Industri Kecil Gunung Mas, Taman Gunung Mas, Tampin.
“Sehingga 15 Mac 2021, sejumlah 188 individu telah disaring, di mana 32 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” menurut data tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, sehingga 12 tengah hari tadi, terdapat 80 kes baru positif Covid-19 dilaporkan ke CPRC Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS), menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 16,782 kes.
“Daripada jumlah kumulatif tersebut, 16,302 kes telah sembuh dan discaj, 450 kes yang masih menerima rawatan di wad dan 30 kes telah meninggal dunia.
“Terdapat 746 kes aktif mengikut definisi Program Pengurangan Risiko Daerah (jumlah kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari terakhir),” katanya.
Veerapan berkata, terdapat 26 kluster yang masih belum diisytiharkan tamat di negeri ini.
“Secara keseluruhannya, hari ini terdapat sebanyak 32 kes baharu direkodkan di daerah Jelebu membabitkan saringan banduan penjara dan 22 kes di Tampin membabitkan 21 kes saringan kluster Industri Gunung Mas serta satu saringan prapembedahan.
“Di Seremban pula mencatatkan 16 kes baharu, Rembau lapan kes saringan kontak rapat kes Covid-19 dan Port Dickson dua kes,” katanya. – UTUSAN ONLINE