PETALING JAYA: Projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Sungai Baru, Melaka dibangunkan menepati segala piawaian berkaitan alam sekitar di bawah pengawasan agensi berkuasa dalam aspek itu di Malaysia.
Ketua projek KLIP, Komander (B) Ramli Johari berkata, pihaknya menyangkal dakwaan Persatuan Kebajikan Alam Sekitar Malaysia-Rakan Alam kononnya KLIP tidak mengendahkan perkara berkaitan alam sekitar.
“Kenyataan yang dikeluarkan adalah lebih menjurus kepada pendapat umum dan pemahaman terhad ke atas perkara yang dikeluarkan tanpa merujuk atau berlandaskan kepada fakta-fakta tertentu. Ia harus diperbetul kerana boleh menimbulkan persepsi negatif serta memberikan maklumat tidak tepat.
“Sebagai pemaju Projek KLIP dan pelabur domestik yang mengeluarkan kos pembangunan projek, pihak syarikat sendiri meletakkan isu alam sekitar sebagai antara perkara paling penting untuk dinilai bagi mengenal pasti impak serta pelan mitigasi terbaik ke atas setiap impak yang dihadapi,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Katanya, Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) terperinci telah siap dilaksanakan di bawah pengawasan agensi berkuasa di dalam aspek alam sekitar di Malaysia iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia.
Pada masa sama, beliau berkata, selain aspek alam sekitar, KLIP turut menekankan aspek maklumat hidraulik bagi memastikan perlaksanaan projek dapat memenuhi objektifnya.
Ahad lalu, Mingguan Malaysia menyiarkan kenyataan Pengerusi Persatuan Kebajikan Alam Sekitar Malaysia-Rakan Alam, Zikrullah Ismail yang mendakwa, sebarang aktiviti menambak laut seperti dalam projek KLIP tidak pernah membuatkan keadaan alam sekitar menjadi lebih baik.
Antara lain, Zikrullah mendakwa kerja penambakan akan membuatkan laut tercemar di samping ikan akan berkurangan.
Mengulas dakwaan itu, Ramli berkata, projek KLIP telah menyiapkan laporan terkini kajian EIA mengikut terma dan proses yang digariskan oleh JAS serta memenuhi keperluan dan piawaian digariskan kerajaaan.
“Data yang dicerap dan maklumat kajian adalah maklumat “real time” untuk digunakan di dalam mengenal pasti kebarangkalian impak berlaku, serta pelan mitigasi yang terbaik untuk pelaksanaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE