KLIP: Melaka sedia batal jika tidak patuh EIA - Utusan Malaysia

KLIP: Melaka sedia batal jika tidak patuh EIA

KOMUNITI nelayan menunjukkan projek KLIP di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri sedia membatalkan Projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bernilai RM15 bilion, sekiranya tidak mematuhi syarat pembangunan khususnya Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ia merupakan keputusan lazim terhadap mana-mana projek pembangunan tambak laut di negeri ini, dan bukan hanya terpakai kepada KLIP sahaja.

“Kalau tidak patuhi semua, kita akan batalkan. Semua pembangunan tambak laut mesti melepasi EIA dan bukan di KLIP sahaja.

“KLIP ini sudah lebih lima tahun dan kalau ia patuhi semua syarat ditetapkan sudah lama ia berdiri tegak,” katanya ketika sidang akhbar khas di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menyatakan, KLIP perlu mematuhi EIA, sekali gus memastikan projek itu tidak mendatangkan masalah kepada Negeri Sembilan pada masa akan datang.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan membantah dan tidak berkompromi mengenai pembangunan tersebut sekiranya ia memberi kesan buruk kepada nelayan tempatan serta hakisan tanah.

Dalam pada itu, Sulaiman turut memaklumkan, Unit Kerajaan Tempatan (UKT), Jabatan Ketua Menteri sedang mengkaji cadangan untuk meletakkan syarat vaksinasi Covid-19 dalam pengeluaran lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) pada masa akan datang.

Ujarnya, sehingga 10 Mac lalu, jumlah pendaftaran terkini penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera bagi negeri Melaka adalah seramai 170,734 orang atau kira-kira 24 peratus daripada penduduk yang layak.

Jelasnya lagi, pendaftaran perlu diperluaskan kepada lapisan masyarakat yang tidak mempunyai akses bagi mendaftar MySejahtera menggunakan telefon pintar.

“Pegawai Daerah menggerakkan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk mendaftarkan lapisan masyarakat ini supaya tidak tercicir daripada pendaftaran vaksin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya