PELABUHAN KLANG: Bukan sahaja menceroboh tanah kerajaan dengan membina kilang papan tetapi dipercayai terlibat dengan aktiviti pembuangan sampah haram, pencemaran sungai dan bau.
Malah, pemilik kilang warga tempatan berusia lingkungan 40-an yang membina struktur di dua lot tanah milik kerajaan selama 20 tahun di Jalan Jeti Pelabuhan Klang di sini, langsung tidak mengendahkan tiga notis amaran diberikan kepadanya.
Penolong Pegawai Daerah Klang (Teknikal dan Penguatkuasaan), Mohamad Saiful Azri Mohd. Fouzi berkata, siasatan mendapati keseluruhan tanah yang diceroboh adalah seluas 0.7 hektar bagi pembinaan kilang papan dan binaan stor, rumah pekerja serta pondok sembahan.
Katanya, pihaknya mengeluarkan tiga Notis Amaran Pencerobohan Tanah Kerajaan pada 4 Disember 2018, 15 Januari 2019 dan 3 Februari 2021 mengikut Seksyen 425 dan 426A Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.
“Namun, pemilik kilang ini didapati terus berdegil untuk merobohkan struktur binaan di tanah tersebut walaupun telah mendapat tiga notis berkenaan.
“Mereka menjadikan alasan program pemutihan yang beberapa kali diadakan kerajaan negeri sejak 2008 dan berakhir hujung tahun lalu untuk berpindah,” katanya kepada pemberita di lokasi perobohan, hari ini.
Operasi perobohan itu dijalankan Pejabat Daerah dan Tanah Klang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPK, Aleya Marini Darmin berkata, tanah diceroboh kilang itu sepatutnya didirikan kawasan perumahan atau penempatan sesuai dengan Pelan Rancangan Tempatan MPK.
“Sepatutnya, setiap binaan yang didirikan memerlukan Kebenaran Merancang (KM) daripada MPK, bagaimanapun perkara ini gagal dilakukan pemilik.
“Pemilik kilang tersebut dan mereka yang bersubahat boleh berdepan penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM 500,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 425 dan 426A KTN, sekiranya disabitkan kesalahan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE