Kilang makanan didenda RM225,000 cemar Sungai Balak - Utusan Malaysia

Kilang makanan didenda RM225,000 cemar Sungai Balak

Sisa efluen yang didakwa dibuang kilang makanan di Kajang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Sebuah kilang makanan di Kampung Baru Balakong didenda RM225,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melepaskan efluen perindustrian mentah melebihi had piawai dan bahan buangan mengandungi minyak pelincir terpakai ke Sungai Balak pada Oktober tahun lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, hukuman itu diputuskan Hakim Mohd Kafli Che Ali selepas syarikat berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili Pengurus Sumber Manusianya mengaku bersalah atas enam pertuduhan.

Menurutnya, bagi pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai seperti yang ditetapkan mengikut Peraturan 11(1)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

“Bagi pertuduhan kedua, OKS melakukan kesalahan sama mengikut Peraturan 12(a) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

“Bagi pertuduhan ketiga, syarikat itu didapati melepaskan bahan buangan yang mengandungi minyak pelincir terpakai daripada premis ke dalam alur air yang mengalir ke dalam Sungai Balak tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata Nor Aziah, berdasarkan pertuduhan keempat, syarikat itu turut didapati gagal patuh kepada spesifikasi sistem pengolahan efluen perindustrian.

“Bagi pertuduhan kelima, OKS gagal memaklumkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar mengenai kejadian pembuangan efluen perindustrian secara tidak sengaja ke dalam perairan pedalaman dalam tempoh tidak lebih daripada enam jam.

“Bagi pertuduhan terakhir, syarikat itu didapati membuang efluen perindustrian bercampur minyak pelincir terpakai yang tidak terlarut campur dengan air ke dalam perairan pedalaman,” katanya.

Jelas beliau, bagi setiap pertuduhan itu, syarikat boleh dihukum tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tambah Nor Aziah, kes itu antara 15 kes kecemasan pencemaran sumber air yang dapat dihalang daripada menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas pada tahun lalu.

“JAS Selangor sentiasa akan mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan penjenayah alam sekitar.

“Kita juga ingin berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat mengenai aktiviti pencemaran alam sekitar,” katanya.

Beliau menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pencemaran alam sekitar supaya menghubungi talian 1-800-88-2727 atau kiriman e-mel ke [email protected] dan portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sebuah kilang berasaskan makanan didapati menjadi punca pencemaran air di Sungai Balak berdekatan Kampung Baru Balakong, Kajang itu.

JAS Selangor melakukan siasatan sejurus menerima aduan pencemaran berkaitan tumpahan minyak hitam di sungai berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati punca luahan air berwarna putih yang mengandungi cecair hitam berminyak yang mengalir secara berterusan ke Sungai Balak.

Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran air sungai di Kampung Baru Balakong yang mana terdapat minyak hitam yang terapung dikesan di atas permukaan alur air. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN