Kilang kertas jadi makmal proses dadah RM2.9 juta - Utusan Malaysia

Kilang kertas jadi makmal proses dadah RM2.9 juta

Suami isteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Polis membongkar satu sindiket memproses dadah jenis syabu bernilai RM2.9 juta susulan penemuan sebuah makmal dadah dalam serbuan di Machang Bubok di sini pada pukul 7.30 malam, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, dalam operasi sama polis turut menahan empat suspek warga tempatan yang dipercayai terlibat dengan kegiatan tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiga daripada suspek berusia antara 38 hingga 49 tahun itu positif dadah jenis methampethamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan.

Beliau berkata, suspek utama yang bekerja sebagai mekanik dan satu-satunya suspek yang negatif dalam ujian saringan air kencing itu dipercayai mendalangi kegiatan berkenaan.

“Selain dadah disyaki syabu seberat 66 kilogram bernilai RM2,376,000, polis turut merampas sebanyak 37 liter cecair (syabu) yang dapat menghasilkan kira-kira 14.8 kilogram kristal syabu bernilai RM532,800 serta 35 tong berisi pelbagai cecair kimia seberat 885 liter.

“Turut dirampas ialah pelbagai peralatan dan mesin memproses dadah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM2,908,800,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Shafee, berdasarkan siasatan awal, lokasi serbuan pada asalnya dipercayai sebuah kilang kertas yang kemudiannya diubah suai menjadi makmal memproses dadah sejak Ogos lalu.

Katanya, polis percaya dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran tempatan dan sekiranya terlepas ‘boleh digunakan’ untuk 400,000 penagih.

Dalam pada itu Shafee berkata, polis turut menyita tiga kenderaan bernilai RM230,000, satu rantai leher berserta loket bernilai RM1,000; wang tunai berjumlah RM1,150 serta tiga akaun simpanan bernilai RM49,575.91 dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM3,190,525.91.

“Kesemua tangkapan direman selama tujuh hari iaitu sehingga 15 Mac ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya