Kilang didenda RM60,000 lepaskan efluen melebihi piawaian - Utusan Malaysia

Kilang didenda RM60,000 lepaskan efluen melebihi piawaian

SEBUAH kilang penyaduran komponen elektrik yang beroperasi di Taman Perindustrian Taman Mas, Sepang ini didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor hari ini kerana melepaskan efluen perindustrian mentah melebihi had piawai pada 16 Jun 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG : Sebuah kilang penyaduran komponen elektrik didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana didapati bersalah atas tiga pertuduhan melepaskan efluen perindustrian mentah melebihi had piawai pada 16 Jun 2020.

Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah membuat keputusan itu terhadap syarikat yang beroperasi di Taman Perindustrian Taman Mas, Sepang selaku Orang Kena Saman (OKS) diwakili pengarahnya yang berusia 47 tahun selepas mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, syarikat yang beroperasi sejak 2005 itu didapati telah melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai seperti mana yang telah ditetapkan di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 bagi tiga parameter.

Efluen tersebut ialah kandungan pepejal terampai yang mempunyai kepekatan sebanyak 630 miligram per liter (mg/l) melebihi had kepekatan yang dibenarkan iaitu 100 mg/l.

Syarikat itu juga melepaskan aluminium yang mempunyai kepekatan sebanyak 30 mg/l iaitu melebihi had kepekatan yang dibenarkan iaitu 15 mg/l; dan nikel yang mempunyai kepekatan sebanyak 4.2 mg/l iaitu melebihi had kepekatan yang dibenarkan iaitu 1.0 mg/l.

Bagi pertuduhan kedua pula, OKS telah didapati gagal menjalankan pemantauan prestasi terhadap semua komponen sistem pengolahan efluen perindustrian manakala bagi pertuduhan ketiga, ia didakwa gagal memastikan sistem pengolahan efluen perindustrian dikendalikan oleh orang yang berwibawa.

Bagi setiap pertuduhan, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar dalam kenyataan akhbar hari ini berkata, pihaknya sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar.

Katanya, orang awam yang ingin melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya