Khairy penerima pertama vaksin Sinovac Khamis ini - Utusan Malaysia

Khairy penerima pertama vaksin Sinovac Khamis ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemberian vaksin Covid-19 jenis Sinovac akan mula dilaksanakan pada Khamis ini dengan pelaksanaan pertama di Hospital Rembau, Negeri Sembilan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan menjadi individu pertama menerima vaksin itu di hospital berkenaan yang dijadualkan pada pukul 1.30 petang.

Menurut beliau, pada hari ini, negara menerima bekalan sejumlah 100,000 dos vaksin Sinovac selain 83,070 dos vaksin Pfizer-BioNTech.

“Pada 22 Mac ini pula kita akan terima lagi 124,020 dos Pfizer-BioNTech manakala 100,000 lagi bekalan vaksin Sinovac.

“Berikutnya pada 29 Mac nanti, sebanyak 125,190 dos Pfizer BioNTech akan diterima menjadikan jumlah kumulatif bekalan vaksin jenis itu berjumlah 1,000,350 sekali gus melengkapkan penghantaran suku pertama tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Malaysia membuat lebihan pembelian vaksin melebihi keperluan memandangkan tidak semua vaksin mendapat kelulusan pihak berkuasa Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang setakat ini meluluskan tiga sahaja vaksin iaitu Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca.

Beliau menjelaskan, lebihan pembelian vaksin sebagai mitigasi sementara menunggu kelulusan regulatori sekali gus mengurangkan risiko lewat penghantaran bekalan daripada syarikat pengeluar.

“Vaksin AstraZeneca sepatutnya diterima pada suku pertama tahun ini, tetapi setakat ini kita masih belum menerima jadual penghantaran mereka. Jadi lebih baik ada lebih banyak vaksin.

“Selain itu, dengan lebihan ini mungkin kita akan melaksanakan booster shot kepada penerima vaksin untuk memberi satu lagi dos tahun depan kalau situasi Covid-19 masih belum reda,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, stok tambahan itu juga berkemungkinan jika keputusan ujian klinikal mendapati agar vaksin boleh diberikan kepada golongan remaja berusia antara 12 hingga 16 tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya