Khairy jawab Najib isu vaksinasi - Utusan Malaysia

Khairy jawab Najib isu vaksinasi

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah sasaran 150,000 hingga 160,000 pemberian vaksin Covid-19 yang disasarkan kerajaan adalah pada pertengahan tahun ini (Fasa 3) apabila lebih banyak bekalan diterima dan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka.

Ia sekali gus menafikan dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa  kadar pemberian dos masih rendah yang ketika ini merekodkan 321,331 dos vaksin sejak Program Vaksinasi negara bermula sejak tiga minggu lalu atau bersamaan  22,138 dos sehari atau 0.07 orang bagi setiap 100 penduduk Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu telah dimaklumkan beberapa kali sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan bekas Perdana Menteri itu berkaitan jumlah vaksinasi harian.

Justeru, beliau berharap Najib akan hadir taklimat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat pada minggu depan, sekali gus boleh memberikan pandangan atau melontarkan persoalan berkenaan program itu.

“Dalam pada Datuk Seri Najib mempersoalkan jumlah yang ‘rendah’ ini, saya turut difahamkan Datuk Seri telah membatalkan temujanji vaksinasi yang ditetapkan kepada Datuk Seri pada 6 Mac 2021 di Dewan Canselori, Universiti DRB Hicom, Pekan. 

“Jadi, saya berharap, Datuk Seri dapat hadir pada temujanji yang akan ditetapkan sekali lagi nanti,” katanya dalam komen balas kepada hantaran Facebook Najib, semalam.

Dalam hantaran itu, Najib berkata, jika kadar pemberian dos ini masih rendah dan tidak dinaikkan, Malaysia akan memerlukan masa 2,345 hari atau 6.4 tahun sebelum kita berjaya memberi vaksin kepada 80 peratus penduduk Malaysia untuk mencapai imuniti kelompok dengan kadar sekarang.

Khairy pada masa sama berterima kasih kepada Najib kerana sentiasa memberi teguran dan pandangan menerusi hantaran Facebook untuk memastikan PICK dapat dilaksanakan dengan jayanya. 

Bagaimanapun, beliau berharap agar Ahli Parlimen Pekan itu dapat membantu menggalakkan pendaftaran vaksinasi lebih-lebih lagi kepada rakyat di daerah yang diwakilinya.

Ini memandangkan, katanya, buat masa ini, hanya 13,020 penduduk (bersamaan 14.4 orang per kapita) di daerah Pekan mendaftar sebagai penerima vaksin. 

“Jangan tulis dan promosi di Facebook sahaja, tapi turun juga di kawasan untuk menggalak dan membantu pendaftaran. 

“Hanya dengan pendaftaran yang tinggi akan memungkinkan PICK ini berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN