Khairy akan terima suntikan vaksin Sinovac - Utusan Malaysia

Khairy akan terima suntikan vaksin Sinovac

KHAIRY Jamaluddin bergambar bersama petugas Klinik Kesihatan Rembau selepas mengadakan lawatan ke klinik tersebut yang Pusat Pemberian Vaksin (PPV).-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa beliau akan menerima suntikan vaksin Covid-19 Sinovac, seminggu selepas ia tiba di negara ini pada 15 Mac ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, vaksin yang lengkap tanpa perlu dibotolkan itu dijangka tiba dari China pada tarikh berkenaan.

“Sinovac akan sampai 15 hari bulan, lengkap, tak perlu dibotolkan lagi. Dalam tempoh masa seminggu saya akan terima Sinovac,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Rembau, di sini, hari ini.

Sebelum ini Khairy berkata, beliau tidak akan mengambil suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech sebaliknya akan mengambil vaksin seterusnya yang diluluskan.

Langkah tersebut difahamkan bagi menunjukkan kepada umum bahawa mana-mana jenis vaksin adalah dipercayai dan mampu menjalankan fungsinya.

Sementara itu, tambah beliau, pemberian vaksin fasa pertama membabitkan petugas barisan hadapan ketika ini akan mengikut perancangan dan tidak akan terlewat daripada sasaran yang ditetapkan sekiranya jadual penghantaran vaksin Pfizer BioNTech dapat dibuat sepenuhnya pada bulan Mac ini.

“Jika ikut jadual, akhir bulan ini kita dapat selesai beri dos pertama, jika tidak ada kelewatan sikit masuk bulan April,” katanya.

Dalam pada itu menurut Khairy, jangkaan 150,000 individu mampu diberikan suntikan vaksin Covid-19 setiap hari sewaktu fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Bila kita dah tubuhkan pusat-pusat imunisasi mega di stadium, di dewan persidangan dan dewan orang ramai, fasa ketiga ini boleh dalam kadar 150,000, bagi mereka yang tak percaya, ‘don’t be surprised'” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN