Keunikan asam pedas Norita - Utusan Malaysia

Keunikan asam pedas Norita

SAMBRI Bodot (kiri) dan Norita Abdullah menunjukkan kepala ikan mayong, ikan senangin dan belangkas di restoran Norita Asam Pedas di Jeti Nelayan Pantai Siring, Serkam, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Asam pedas memang cukup sinonim dengan negeri Melaka. Malah, ada yang datang ke negeri itu terutama pada hujung minggu semata-mata untuk menikmati asam pedas.

Tidak terkecuali Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang sering bertandang ke Restoran Norita Asam Pedas di jeti nelayan Pantai Siring di Serkam yang mempunyai keunikan tersendiri.

Pemiliknya, Norita Abdullah, 44, berkata, keunikan asam pedas di restorannya ialah ikan yang dimasak adalah yang baru ditangkap oleh nelayan tempatan.

Sejak lebih 20 tahun, dia bersama suaminya, Sambri Bodot, 53, hanya menghidangkan asam pedas ikan baru seperti kurau, senangin, jenahak, serkot putih, serkot tunggal, sembilang, mayong dan duri.

“Jika ada hari nelayan balik tangan kosong tanpa sebarang hasil, maka, saya tidak akan buka restoran. Saya tidak akan sama sekali beli ikan dari pasar untuk dihidangkan kepada pelanggan.

“Memang inilah keunikan restoran asam pedas saya usahakan sejak dari dahulu hingga sekarang. Yang pasti pelanggan puas hati merasa keenakan masakan asam pedas ikan yang baru ditangkap,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Norita berkata, selain asam pedas ikan, dia juga menyediakan masakan belangkas dimasak gulai lemak dan telur ikan mayong serta ikan selangat digoreng garing.

Jelasnya, masakan asam pedasnya bergantung kepada hasil tangkapan nelayan setiap hari.

“Kadang-kadang ikan yang dinaikkan nelayan tidak tentu ada ketika banyak jenahak dan serkot dan jika ada rezeki melimpah pelbagai spesies ikan dapat dihidangkan kepada pelanggan,” ujarnya.

Dia berkata, pelanggan boleh memilih ikan yang belum dimasak dan membuat pilihan sama ada untuk dimasak asam pedas atau sebaliknya. Pilihan lain kepada pelanggan ialah ikan boleh dibakar, digoreng kunyit, tiga rasa atau goreng tepung.

Jelasnya, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), restorannya memang penuh dengan pelanggan dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan tetapi sekarang agak lengang.
“Ada yang datang dari luar Melaka semata-mata ingin merasa asam pedas. Biasanya, mereka akan hubungi saya bertanyakan ikan baru ditangkap nelayan. Saya akan simpan ikan yang dipesan dan apabila mereka sampai baru dimasak asam pedas,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN