SEREMBAN: Walaupun peraturan mengasingkan sisa pepejal di punca telah dikuatkuasakan sejak 2015, namun kesedaran mengenainya dalam kalangan masyarakat masih lagi rendah.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong berkata, sehubungan itu kempen kesedaran mengenai perkara itu perlu ditambah baik sekali gus menjadi satu budaya dalam masyarakat.
“Kita sedar masih ada masyarakat yang kurang peka tentang pengasingan sisa pepejal ini namun kami berharap sekurang-kurangnya mereka boleh menguruskan sisa domestik di kediaman masing-masing dengan cara berhemah iaitu dengan membungkus dan mengikat kemas bungkusan sisa serta meletakkan di dalam tong sampah yang telah disediakan.
“Saya harap kempen ini perlu ditambah baik supaya masyarakat dapat melaksanakan amalan kitar semula dan membudayakannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Hebahan Awam Perkhidmatan Plus 1 di Pejabat SWM Environment Sdn. Bhd (SWM Environment) di Seremban 2 dekat sini hari ini.
Yang hadir sama Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Muhammad Yusuf Ahmad.
Kok Seong berkata, kempen berterusan mengenainya perlu dilakukan supaya ia dapat membantu mengurangkan kapasiti pengasingan sisa di punca di tapak pelupusan di negeri ini.
“Keadaan tiga tapak pelupusan sampah di negeri ini masih lagi terkawal dan sekiranya kempen tersebut memberi impak kepada masyarakat ia sekali gus dapat mengurangkan sisa di tapak pelupusan,” katanya.
Sementara itu Norlisam memaklumkan, sebanyak 55 buah lori pukal di seluruh negeri ini dipasang dengan kemudahan siar raya bagi tujuan hebahan awam ketika kutipan sisa dilaksanakan di setiap kawasan perumahan.
“Kami menyeru penduduk agar menguruskan sisa domestik di kediaman masing-masing dengan cara berhemah seperti membungkus dan mengikat kemas bungkusan sisa serta meletakkannya di dalam tong sampah beroda yang telah disediakan.
“Bagi sisa kitar semula, sisa pukal dan sisa taman dan penduduk diingatkan untuk meletakkan sisa tersebut di tepi tong sampah beroda pada hari kutipan seminggu sekali,” katanya.