PUTRAJAYA: Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan akan menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas premis telur ayam yang dicemari bakteria di Selangor.
Pengarah kanan bahagian itu, Mohd. Salim Dulatti berkata, ia dilakukan dengan mendapat kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
“Selain itu, pemantauan Salmonela enteritidis di dalam telur ayam sentiasa dibuat dan setakat ini, 364 sampel telur telah pun dianalisis,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Daripada jumlah itu katanya, hanya dua dikesan mengandungi bakteria tersebut yang hadir dalam salur pencernaan ayam dan boleh mencemari telur melalui kaedah pencemaran silang.
Ia ujarnya, terjadi sama sama daripada najis ayam kepada telur atau ketika pembentukan telur jika jangkitan bakteria itu berlaku terhadap tisu-tisu pembiakan pada ternakan tersebut sendiri.
Beliau merujuk isu penarikan balik telur ayam keluaran syarikat Layer Farm Lay Hong Berhad di Jeram, Kuala Selangor yang dilapor laman sesawang Agensi Makanan Singapura (SFA).
Laporan yang bertarikh 12 Mac itu menyatakan produk tersebut dengan cetakan kod CES008 dikesan tercemar dengan bakteria Salmonela enteritidis dan diarah ditarik keluar dari pasaran.
“Pengendalian tidak sempurna dari segi kebersihan kulit telur atau telur tidak dimasak dengan betul boleh mengakibatkan kes keracunan makanan atau Salmonellosis,” kata Mohd. Salim.
Syarikat yang ditubuhkan sejak 1960-an itu ketika ini mengeluarkan 500 juta papan telur daripada lapan ladang ternakan ayam telur dan disenaraikan Bursa Malaysia pada 1994 lalu.
Individu yang dijangkiti katanya, boleh mengalami demam, kekejangan perut dan cirit-birit antara 12 hingga 72 jam setelah memakan telur yang tercemar dengan bakteria berkenaan.
Golongan berisiko rentan seperti orang tua, bayi dan mereka yang menghadapi gangguan sistem imun mungkin akan merasai gejala lebih teruk dan memerlukan rawatan di hospital.
Justeru ujar beliau, bagi mengelakkan keracunan makanan, pengguna dinasihatkan mencuci telur ayam terlebih dahulu dengan sempurna sebelum digunakan dalam sebarang hidangan.
“Juga elak guna telur telah retak atau pecah kerana ia mungkin tercemar dengan bakteria serta masak dengan lengkap hingga bahagian kucing dan putih telur menjadi keras,” katanya.
Mohd. Salim menambah sekiranya pengguna berasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di pasaran tempatan, boleh dibuat laporan kepada kementerian itu.
Laporan itu perlu diadu kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov/my atau Facebook www.facebook.com/bkkmhq.- UTUSAN ONLINE