PUTRAJAYA: Malaysia kembali merekodkan kes positif melebihi 2,000 kes iaitu 2,063 kes, namun kes sembuh terus kekal tinggi iaitu 2,922 kes.
Sebanyak 14 kluster dan hanya lima kematian direkodkan manakala kes aktif terus menunjukkan penurunan apabila mencatatkan 23,161 kes berbanding semalam, iaitu 24,025 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 193 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 99 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Selangor terus kekal negeri tertinggi kes positif iaitu 630 kes diikuti Sarawak, 361 kes; Pulau Pinang, 337 kes; Johor, 255 kes; Kuala Lumpur, 120 kes dan Perak sebanyak 101 kes.
“Baki negeri merekodkan kes dua angka iaitu Negeri Sembilan, 91 kes; Sabah, 78 kes; Kelantan, 44 kes; Pahang, 13 kes; Kedah, 12 kes; Terengganu, 10 kes manakala Putrajaya, tujuh kes; Melaka, tiga kes; Perlis, satu kes dan Labuan, sifar kes,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, semua kes kematian adalah warga tempatan yang melibatkan tiga kes di Selangor manakala Kuala Lumpur dan Pahang, masing-masing satu kes.
“Kes melibatkan tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 70 hingga 79.
“Semua kes mempunyai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan buah pinggang kronik,” katanya.
Mengulas mengenai 14 kluster, beliau berkata, 12 kluster melibatkan tempat kerja iaitu lima di Selangor, empat di Johor, dua di Pulau Pinang dan satu di Negeri Sembilan.
Katanya, Johor juga mempunyai kluster komuniti dan kumpulan berisiko tinggi, masing-masing satu kluster.
“Lima kluster di Selangor, Kluster Industri Subang melibatkan Petaling, Klang, dan Kuala Selangor, 47 kes daripada 171 individu; Kluster Lagenda Suria di Hulu Langat, 31 kes daripada 63 individu; Kluster Jalan Bukit Tiga di Hulu Langat, 14 kes daripada 140 individu serta Kluster Jasmine Empat di Hulu Selangor, sebanyak 17 kes daripada 351 individu dan Kluster Jalan Damansara di Petaling, sebanyak 11 kes daripada 70 individu.
“Johor pula, Kluster Jalan Distripark B6 di Johor Bahru, 25 kes daripada 63 individu; Kluster Batu 21 melibatkan Kulai dan Johor Bahru, 15 kes daripada 91 individu serta Kluster Jalan Kabel Gemilang di Johor Bahru, 12 kes daripada 22 individu dan Kluster Jalan Maju Satu di Johor Bahru, 10 kes daripada 90 individu,” katanya.
Tambahnya, Pulau Pinang merekodkan dua kluster iaitu Kluster Jalan Kebun Nenas melibatkan Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, 94 kes daripada 326 individu dan Kluster Tapak Ninan Queens Waterfront melibatkan Barat Daya dan Timur Laut, 145 kes daripada 709 individu.
“Kluster Tapak Bina Nilam Sari yang juga kluster tempat kerja melibatkan Seremban, Negeri Sembilan, seramai 84 individu telah disaring, iaitu 30 kes dikesan positif.
“Bagi kluster kumpulan berisiko tinggi, Kluster Persiaran Kempas Baru di Johor Bahru di Johor, seramai 150 individu telah disaring, dengan 27 kes positif manakala Kluster Jalan Limau Manis adalah kluster komuniti melibatkan Kluang dan Johor Bahru, Johor, 13 kes daripada 49 individu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, 11 kluster tamat pada hari ini iaitu Kluster Bukit Pasir, Kluster Tapak Bina Bukit Sebukor, Kluster Kampung Balibata, Kluster Jalan Usaha, Kluster Batu Enam, Kluster Persiaran Tanjung, Kluster Kampung Pahi, Kluster Jalan Seri, Kluster Taman Bahagia, Kluster Kampung Pulau Jawa, dan Kluster Taman Amalina. – UTUSAN ONLINE