Kes ingkar SOP melonjak lagi, ramai dicekup di pusat hiburan - Utusan Malaysia

Kes ingkar SOP melonjak lagi, ramai dicekup di pusat hiburan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam naik lagi untuk hari kedua berturut-turut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 181 individu ditahan berbanding 100 individu dicekup kelmarin dan cuma enam individu diberkas Jumaat lalu.

“Daripada jumlah itu, 93 dikompaun, 80 direman dan lapan lagi dijamin dengan kesalahan tertinggi ialah aktiviti pusat hiburan iaitu 106 kes,” katanya melalui kenyataan akhbar hari ini.

Ini diikuti gagal jarak fizikal (35), tiada alat merekod butiran diri (24), aktiviti perjudian (lapan), tiada pelitup (lima), merentas kawasan tanpa izin (dua) dan premis dibuka lebih masa (satu).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 66,337 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,486 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri menambah, seramai 15,223 anggota itu memantau sebanyak 7,213 restoran, 4,720 pasar raya, 3,979 penjaja, 2,729 bank, 2,509 kilang selain 779 buah pejabat kerajaan.

Turut dipantau ialah 16,985 tempat riadah, 168 rumah ibadah, 105 pasar awam, 3,319 terminal pengangkutan darat, 1,802 terminal pengangkutan air dan 712 terminal pengangkutan udara.

Seramai 59 pendatang asing tanpa izin ditahan di seluruh negara semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan negara dan membendung kes Covid-19.

“Lima kenderaan darat dan empat bot dirampas selain 39 bot atau kapal dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 266 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 51 dilaksanakan polis.

Beliau memaklumkan bahawa sejumlah 54 operasi sanitasi awam juga dilakukan di negara ini semalam yang meliputi 17 zon merah, lima zon jingga, 13 zon kuning dan satu zon hijau.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan 277 anggota bomba selain 200 anggota pihak berkuasa tempatan yang turut dibantu dengan penggunaan sebanyak 55 buah jentera bomba.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 873 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN