Kes ingkar SOP kembali naik kepada 499 individu - Utusan Malaysia

Kes ingkar SOP kembali naik kepada 499 individu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam naik semula setelah jatuh dua hari berturutan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 499 individu dicekup semalam berbanding 305 individu ditahan kelmarin dan 400 individu diberkas pada Isnin lalu.

“Daripada jumlah itu, 492 dikompaun, empat direman dan tiga dijamin dengan kes paling tinggi ialah aktiviti di pusat hiburan sebanyak 134,” kata beliau pada sidang akhbar hari ini.

Ini diikuti gagal sedia alat rekod butiran diri (86), tidak memakai pelitup muka (62), tiada jarak fizikal (58), premis dibuka lebih masa (28), rentas kawasan tanpa izin (27) dan lain-lain (104).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 68,717 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,495 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri menambah, 15,082 anggota itu semalam memantau 6,006 restoran, 4,479 pasar raya, 4,172 bank, 3,976 rumah ibadah, 2,611 penjaja, 1,716 kilang dan 1,529 pasar awam.

Turut dipantau oleh pasukan berkenaan ialah 1,513 tempat riadah serta 1,130 buah pejabat kerajaan selain sejumlah terminal pengangkutan darat, air dan udara di seluruh negara.

Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) juga ditahan semalam melalui Op Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan membendung penularan kes wabak Covid-19.

“Sebanyak enam kenderaan darat dirampas selain sejumlah 139 bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan perairan negara melalui lapan operasi penglihatan,” tegas Ismail Sabri.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 446 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 47 dilaksanakan polis.

Beliau memaklumkan bahawa sejumlah 85 operasi sanitasi awam dilaksanakan di negara ini semalam meliputi 30 zon merah, tujuh zon jingga, sembilan zon kuning dan lima zon hijau.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 333 anggota bomba selain 200 anggota pihak berkuasa tempatan dengan penggunaan sebanyak 68 buah jentera bomba di seluruh negara.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 870 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 7,645 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 76 buah hotel serta 13 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 858 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 127,044 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 545 peruncit, 157 pemborong dan 32 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu katanya, juga melakukan 1,950 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan enam premis diberikan nasihat kerana didapati kurang mematuhi peraturan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya