Kes cabul pendakwah selebriti ke Mahkamah Sesyen - Utusan Malaysia

Kes cabul pendakwah selebriti ke Mahkamah Sesyen

SYED SHAH IQMAL SYED MOHD. SHAIFUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kes cabul yang dihadapi oleh pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen yang turut mengendalikan prosiding pendakwaan persetubuhan luar tabii dan melibatkan mangsa sama.

Sebelum ini, prosiding kes cabul yang dihadapi Syed Shah Iqmal, 25, berlangsung di Mahkamah Majistret.

Dalam prosiding berasingan, Hakim Mahkamah Sesyen Jamaludin Mat menetapkan 28 April ini sebagai tarikh sebutan semula serahan dokumen kepada pihak pembelaan.

Timbalan Pendakwa Raya Shanur Farrahin Shapri memaklumkan pihaknya mempunyai enam fail dan memerlukan tempoh sebulan untuk penyerahan dokumen.

Terdahulu, tertuduh tiba di sini pada pukul 9.15 pagi dengan mengenakan blazer berwarna merah bersama peguamnya, Syed Amirul Syed Edros.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal Syed mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.

Pendakwah muda itu turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan kekerasan dengan niat mencabul mangsa yang sama di Mahkamah Majistret di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di antara pukul 3 pagi dan 4 pagi, 17 Oktober lalu di rumah sewanya di Empire City, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana dekat sini.

Dia didakwa melakukan persetubuhan luar tabii mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Bagi kes cabul, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN