KUALA TERENGGANU: Kertas siasatan kes pukul dan khianat terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, suspek kejadian itu yang merupakan rakan baik mangsa telah ditangkap dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Peringkat awal siasatan mendapati suspek dan mangsa adalah rakan baik dan kes ini berpunca daripada hutang perniagaan.
“Kita sudah melengkapkan kertas siasatan dan ia dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya hari ini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis sambutan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan penafian Wan Ahmad Nizam berhubung dakwaan mencabul isteri rakan baiknya sebagaimana laporan polis yang dibuat wanita berkenaan.
Wan Ahmad Nizam yang juga bekas Naib Ketua UMNO Kemaman berkata, dakwaan yang dibuat pasangan suami isteri dari Taman Melawati, Ampang, Selangor itu hanya rekaan semata-mata untuk menjatuhkan reputasi dan mengaibkan dirinya.
Katanya, lelaki itu berhutang RM200,000 dengannya dan hubungan persahabatan mereka renggang sejak September tahun lalu kerana kegagalan melunaskan hutang. – UTUSAN ONLINE