KUALA LUMPUR: Wanita UMNO menegaskan hanya menerima dan bekerjasama dengan mereka yang boleh menerima falsafah serta perjuangan parti itu.
Sehubungan itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menzahirkan sokongan terhadap keputusan Majlis Tertinggi (MT) untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan PKR, DAP mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Saya ingin tegaskan di sini bahawa Wanita UMNO menyokong keputusan MT yang ‘NO DAP, NO PKR, dan tarik sokongan terhadap Bersatu sebaik sahaja paluan gendang pilihan raya bermula.
“Kita bersetuju UMNO dan Bersatu sukar untuk tidur sebantal kerana kita punya mimpi yang berbeza. UMNO dan Bersatu banyak bertembung dari segi kepentingan, atas sebab itulah kita sukar untuk mengadakan kerjasama dalam PRU.
“Walaupun keputusan ini memberikan pelbagai implikasi politik kepada orang Melayu. Namun, Wanita UMNO akan terus bersama dengan keputusan yang telah dibuat oleh akar umbi dan kepimpinan parti,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO Wanita UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ujar Noraini, UMNO harus memikirkan kelangsungan atau survival parti demi mempertahan agenda Melayu Islam di negara ini kerana UMNO, sebagai parti keramat orang Melayu mempunyai satu tanggungjawab besar untuk meluruskan kembali jalur politik negara.
“Jalur politik ini penting, kerana kita bukanlah pengkhianat. UMNO tewas tetapi kita gunakan ruang itu untuk bangkit kembali diterima rakyat. UMNO tewas tetapi komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN tetap setia. UMNO tewas tetapi hubungan bersama Pas yang dahulunya tidak sehaluan kembali pulih setelah penyatuan ummah digerakkan.
“Jalur ini umpama benang yang basah. Bukan mudah untuk dilentur lurus. But impossible is nothing. Kalau kita cekal berusaha, jalur politik ini akan kembali kepada asasnya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE