Kerajaan tanggung rugi RM1.25 juta sehari - Utusan Malaysia

Kerajaan tanggung rugi RM1.25 juta sehari

MOHD. Zuki Ali (tengah) menandatangani plak sebagai simbolik pada pelancaran buku '365 Hari Mohd. Zuki Ali: Aspirasi dan Cabaran' di Bora Ombak Marina Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM1.25 juta sehari berikutan tindakan kerajaan negeri Selangor menangguhkan persetujuan penjajaran semula projek berkenaan.

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, projek tersebut telah tertangguh selama 12 bulan akibat kelewatan kerajaan negeri itu membuat keputusan.

Beliau yang juga Ketua Setiausaha Negara berkata, pihaknya telah memberikan semua penjelasan kepada Selangor dan tiada alasan lagi untuk melengah-lengahkan pelaksanaannya kerana ia akan mengganggu keseluruhan projek itu mengikut perancangan.

“Pakej ECRL bermula dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang melibatkan seksyen A, B dan C. Seksyen A dah selesai, Seksyen B juga sudah selesai dari segi perancangan dan urusan untuk meneruskan projek berjalan lancar.

“Cuma apa yang saya sebutkan di Selangor, kita kena ingat projek ini melibatkan peruntukan kos yang besar. Projek ini dijangka siap 2026, dengan kelewatan ini saya khuatir apa yang kita rancangkan tidak dapat dilaksanakan seperti dijadualkan dan saya khuatir ia akan melibatkan imej kerajaan juga sebab projek ini melibatkan kerjasama China,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku 365 Hari Mohd. Zuki Ali: Aspirasi & Cabaran di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor dilaporkan menyokong projek ECRL tetapi mempertahankan pendiriannya supaya rangkaian kereta api itu menggunakan laluan selatan melintasi Negeri Sembilan dan Putrajaya daripada penggunaan laluan utara melalui Gombak dan Serendah seperti yang diumumkan Kementerian Pengangkutan baru-baru ini.

Keputusan Exco Selangor mempertahankan pendiriannya untuk tidak bersetuju dengan cadangan penjajaran semula ECRL itu hanya akan melewatkan projek mega membabitkan Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang) dan ia berpotensi mengubah tarikh siap projek secara keseluruhan yang dijangka pada Disember 2026.

Mohd. Zuki berkata, isu penangguhan persetujuan kerajaan negeri Selangor itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk membuat keputusan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun beliau berharap, Selangor akan mempertimbangkan semula keputusan untuk persetujuan projek itu.

“Sekarang ini jajaran asal dari Kota Bharu ke Temerloh seperti biasa. Cuma akibat keputusan Selangor menangguhkannya, jadi kita belum buat keputusan secara rasmi jajaran mana yang mereka setuju, maknanya ia akan tertangguh.

“Sebab perancangan projek ini tidak boleh buat separuh-separuh, kita kena buat keseluruhan seperti mana dijadualkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya