Kerajaan Pahang wujud SICP - Utusan Malaysia

Kerajaan Pahang wujud SICP

WAN Rosdy Wan Ismail menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, Pahang. UTUSAN/NIK NAIZI HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri mewujudkan Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP) sebagai usaha mempercepatkan proses meramaikan dan memudahkan penduduknya untuk menerima suntikan vaksin wabak berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, SICP bermula sejak fasa pertama pemberian suntikan kepada petugas barisan hadapan.

Menurutnya, sistem itu lebih khusus berbanding aplikasi MySejahtera dan laman sesawang atau ‘hotline’ Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang membuat notifikasi menentukan tarikh janji temu untuk calon-calon penerima suntikan di setiap negeri.

Melalui penggunaan SICP juga, proses imunisasi bagi rakyat negeri ini di bawah ketiga-tiga fasa yang ditetapkan dijangka berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan.

Beliau berkata, fungsi SICP ialah bagi mengumpul semua data tentang calon-calon penerima suntikan daripada agensi-agensi terlibat, diberi tarikh janji temu dan diserahkan kepada MySejahtera untuk dibuat notifikasi kepada penggunanya.

“Bagaimanapun, ada dalam kalangan penerima fasa pertama tidak menerima notifikasi MySejahtera kerana mereka bukan pengguna MySejahtera. Menurut rekod, 64 peratus daripada mereka tiada aplikasi MySejahtera.

“Sebaliknya, SICP mampu memaklumkan tarikh janji temu kepada semua 32,000 calon penerima vaksin fasa pertama Pahang atau dengan kadar 100 peratus,” katanya pada Program Imunisasi Covid-19 (Dos Kedua) Peringkat Pahang dan Majlis Pelancaran SICP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, bagi fasa kedua bermula April ini, kerajaan negeri telah menyediakan data bagi 360,000 calon penerima dan dimasukkan ke dalam SICP meliputi warga emas 60 tahun dan ke atas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik.

“Data ini diperoleh daripada beberapa agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Kemajuan dan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa).

“Calon-calon penerima hanya perlu menyemak dalam sistem dan membuat pengesahan serta persetujuan, dan SICP akan bersedia untuk memulakan pemberian tarikh janji temu mereka,” katanya.

Menurutnya, SICP telah menerima dan mempunyai senarai nama misalnya bagi 6,050 orang warga emas dan angka ini jauh berbeza daripada perangkaan unjuran 2009 yang direkodkan seramai 170,000 orang, sepertimana juga terdapat dalam senarai MySejahtera.

“Di bawah fasa kedua juga, SICP membolehkan saringan dilakukan ke atas mereka yang menghidap beberapa jenis penyakit, yang tidak membolehkan mereka diberi suntikan di lapangan sebaliknya mesti dilakukan di hospital,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya