Kerajaan NS bantah projek loji insinerator - Utusan Malaysia

Kerajaan NS bantah projek loji insinerator

S.Veerapan (tengah) menunjukkan dokumen berkaitan cadangan pembinaan loji insinerator dan pemerolehan kembali buangan terjadual yang terletak di Bandar Seri Sendayan, dalam sidang akhbar di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan negeri Sembilan membantah pembinaan projek loji insinerator dan pemerolehan kembali buangan terjadual di Bandar Seri Sendayan dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, bagaimanapun, pihak kerajaan negeri akan menunggu laporan yang dibuat melalui Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Bagi kerajaan negeri, kita sudah ada Pusat Kualiti Alam yang terletak di Tanah Merah, Port Dickson yang beroperasi sebagai tapak pembuangan berjadual dan tiada keperluan untuk mewujudkan sebuah lagi pusat pembuangan lain atau keperluan untuk tapak pembuangan baharu.

“Kami akan memberi pandangan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan mereka akan mengambil kira pandangan daripada kerajaan negeri. Kalau diikutkan, memang kami tidak bersetuju dengan projek tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Negeri, dekat sini hari ini.

Menurut S. Veerapan, projek pembinaan insinerator pembuangan berkenaan terletak di atas sebuah tanah yang disewakan seluas 1.5 ekar di Bandar Seri Sendayan.

“Bagi sebarang kelulusan apa-apa projek perlu melalui Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan jika perlu, kerajaan negeri berhak menolak projek tersebut.

“Antara faktor kami tidak bersetuju kami merasakan ia tidak sesuai kerana terletak berdekatan sungai yang berhampiran kawasan tersebut dan jaraknya dengan kawasan penempatan perumahan juga tidak lebih daripada dua kilometer,” katanya.

S. Veerapan memaklumkan, projek berkenaan akan melibatkan minyak yang diproses semula seperti sisa minyak daripada bengkel dan campuran minyak daripada kapal.

“Kami dimaklumkan projek berkenaan berkaitan minyak yang akan diproses semula dan sisa minyak buangan pula akan dihantar ke Pusat Kualiti Alam. Keupayaan kapasiti projek berkenaan sebanyak 5,800 tan metrik sebulan.

“Saya dimaklumkan sebelum ini syarikat berkenaan pernah mengadakan projek yang sama di negeri lain namun atas beberapa faktor mereka mahu berpindah ke negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Veerapan berkata, orang awam dijemput untuk memberikan pandangan dengan mengemukakan maklum balas dengan laporan EIA yang dipamerkan di JAS negeri, Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Perpustakaan negeri dan Perpustakaan Jabatan Alam Sekitar di Putrajaya.

“Selain itu orang ramai boleh memberi ulasan tersebut melalui pautan laman sosial Facebook rasmi JAS dan tempoh pameran awam bermula 3 Mac hingga 1 April 2021,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN