Kerajaan digesa mudahkan pembaharuan pasport di luar negara - Utusan Malaysia

Kerajaan digesa mudahkan pembaharuan pasport di luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia perlu mencari alternatif baharu bagi memudahkan proses pembaharuan pasport sekali gus memenuhi permintaan tinggi membabitkan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Tan Hong Pin berkata, saranan itu dibuat pihaknya ekoran berlaku kesesakan dan kesukaran proses pembaharuan pasport oleh rakyat Malaysia di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi permasalahan tersebut.

“Merujuk kepada laporan, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura hanya membenarkan seramai 30 orang rakyat Malaysia untuk hadir mendapatkan perkhidmatan pembaharuan pasport.

“Kiraan saya mendapati pejabat pesuruhjaya tidak mampu menampung beban kerja yang tinggi berbanding sekurang-kurangnya 500,000 rakyat Malaysia di Singapura,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Akhbar republik itu sebelum ini melaporkan berlaku masalah kesesakan sehingga menyebabkan rakyat Malaysia di negara itu terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan perkhidmatan pembaharuan pasport mereka.

Tambah Hong Pin, isu pengurusan pembaharuan pasport berkenaan telah memaksa rakyat Malaysia bukan sahaja beratur panjang, malah sebahagian daripada mereka telah berada di pejabat itu sebelum waktu Subuh lagi.

“Malahan, ada juga rakyat kita yang perlu beratur selama lima jam bagi urusan pengambilan pasport meskipun janji temu telah dibuat secara dalam talian.

“Saya juga prihatin terhadap kanak-kanak dan warga emas yang tidak dapat memperbaharui pasport mereka secara dalam talian seperti dilaporkan akhbar tersebut. 

“Situasi sedemikian sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan mereka yang terkandas akibat penutupan sempadan sejak tahun lalu,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut meminta Kementerian Luar agar segera mengisi kekosongan jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura sejak 11 bulan lalu bagi melancarkan operasi pejabat berkenaan sekali gus memudahkan urusan rakyat Malaysia di Singapura.

“Setelah setahun kita melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan antarabangsa khususnya Malaysia-Singapura, kerajaan masih belum menemukan penyelesaian bagi memudahkan urusan rakyat seperti pembaharuan pasport membabitkan mereka yang terkandas di luar negara,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN