Kerajaan cari jalan selesai isu air Kedah-Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Kerajaan cari jalan selesai isu air Kedah-Pulau Pinang

TUAN Ibrahim Tuan Man (tengah) bersama Saarani Mohamad (dua dari kanan) menekan tombol sebagai simbolik merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat negeri Perak 2021 di Hotel Casuarina di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Satu pertemuan telah diadakan antara kerajaan Persekutuan dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bagi menyelesaikan isu bayaran sumber air mentah yang dituntut Kedah daripada Pulau Pinang sejak 2010.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagaimana pun, buat masa ini, belum ada sebarang keputusan mengenai isu tersebut, tetapi, beliau percaya dan yakin kemelut itu dapat diselesaikan dengan baik.

Menurut beliau, ini kerana jalan penyelesaian yang hendak dicapai nanti hendaklah bersifat menang menang dengan mengambil kira kepentingan kedua-dua negeri.

“Isunya ialah Pulau Pinang mengambil sumber air mentah dari sungai di Kedah.

“Kedah sudah berkorban menjaga sumber air tersebut yang dinikmati Pulau Pinang, jadi, Kedah mungkin boleh diberi penghargaan kerana telah menjaga sumber air mentah ini.

“Tetapi, perkara ini (penghargaan) kepada Kedah perlulah dibuat secara sistematik, inilah jalan penyelesaian yang sedang kita cari. Insyallah, semua masalah ada cara penyelesaiannya,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa hadir pada Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat negeri Perak 2021 di Hotel Casuarina di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi mahu campur tangan kerajaan Persekutuan termasuk bagi membantu rundingan antara Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Penggunaan air di Kedah adalah kira-kira 800 juta liter sehari (mld), sedangkan PBAPP yang mengekstrak 80 peratus sumber air dari Sungai Muda menggunakan sebanyak 1,100 mld sehari.

Disebabkan itu, caj sama patut dikenakan kepada PBAPP walaupun sumber air yang diekstrak adalah di sebelah sempadan Pulau Pinang kerana sumber asal air adalah dari Sungai Muda di Kawasan Tadahan Ulu Muda di Kedah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN