MELAKA: Pendudukan di negeri ini diberikan peluang bersuara untuk membantah, menyokong atau melontarkan pandangan berhubung draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Zon Pelancongan Ayer Keroh yang kini dalam proses semakan akhir dan publisiti.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, segala pandangan dan bantahan boleh dikemukakan secara bertulis atau secara pautan dalam talian sebelum ia diwartakan melalui peruntukan perundangan, sebagaimana dinyatakan di dalam Subseksyen 15 (6) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Beliau berkata, RKK yang digerakkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) itu bertujuan memperkukuhkan dan menjadikan kawasan Zon Pelancongan Ayer Keroh sebagai sebuah pusat rekreasi terkemuka serta ikonik yang berunsurkan elemen botani, ekologi dan rekreasi keluarga.
Katanya, terdapat 42 cadangan pembangunan yang dimasukkan dan dipecahkan kepada tiga kategori iaitu sembilan projek berimpak tinggi, 14 projek utama dan 19 projek sokongan.
“Antaranya cadangan menaik taraf Dataran Sejarah dan Pintu Masuk Taman Botanikal, cadangan pencahayaan sekitar Ayer Keroh, menaik taraf Zoo Melaka, Hang Tuah Jaya Eco Bridge, menaik taraf Pintu Gerbang Melaka dan lain-lain lagi.
“Proses pameran dan publisiti yang berlangsung selama empat minggu bermula 27 Mac hingga 25 April ini di tiga lokasi iaitu Zoo Melaka, Wisma Negeri dan MPHTJ,” katanya ketika sidang akhbar sempena pra pelancaran RKK di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
RKK Zon Pelancongan Ayer Keroh merupakan dokumen pemajuan yang disediakan bagi tujuan pelaksanaan segera dan dikategorikan sebagai RKK bagi kawasan berkeperluan khusus.
Asas penyediaannya adalah berdasarkan peruntukan perundangan sebagaimana dinyatakan dalam Subseksyen 16B (1), (2) dan (3) iaitu selaras dengan Akta 172.
Sulaiman menambah, kos bagi kajian terbabit bernilai RM500,000 yang dibiayai oleh kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.
“Bagi kos publisiti pula, dibiayai oleh MPHTJ. RKK ini terletak dalam zon pelancongan utama Ayer Keroh yang berkeluasan 190.62 hektar meliputi Zoo Melaka, Taman Botanikal, Dataran Sejarah, Tasik Ayer Keroh, Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN, Taman Buaya dan Wonderland Park,” jelasnya.