Kerajaan AS sekat maklumat, campur tangan kes Najib suatu pencabulan - Azalina - Utusan Malaysia

Kerajaan AS sekat maklumat, campur tangan kes Najib suatu pencabulan – Azalina

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) menyifatkan dakwaan bahawa kerajaan Amerika Syarikat (AS) sengaja menahan maklumat yang boleh membantu pembelaan Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah merupakan suatu pencabulan terhadap perbicaraan yang adil dan saksama.

Ketua Pasukan Khas Demokrasi dan Perundangan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya memandang serius dakwaan peguam Roger Ng, Brafman & Associates yang menganggap kerajaan AS telah campur tangan dengan permohonan penzahiran dan pemeriksaan dokumen (discovery application) oleh Najib.

Katanya, badan guaman itu telah meminta mahkamah di New York untuk mematuhi sepina bagi memberikan keterangan dan mengemukakan dokumen untuk membuktikan bahawa pegawai-pegawai 1MDB terlibat dalam skim jenayah yang membabitkan ahli perniagaan, Jho Low dan bekas pengarah Goldman Sachs, Tim Leissner.

“Surat dari peguam Roger Ng juga menarik perhatian hakim bahawa perkara tersebut adalah sensitif kepada masa memandangkan perbicaraan 1MDB masih berjalan.

“Untuk menahan keterangan daripada Najib merupakan suatu pencabulan ke atas hak berperlembagaan Najib kepada perbicaraan yang adil dan saksama.

Justeru, Azalina berpandangan kerajaan AS harus mengemukakan keterangan dan bukti yang boleh menzahirkan pendedahan penting berkaitan pembelaan Najib.

“Apa yang membimbangkan ialah surat itu turut menyatakan bahawa kerajaan AS seakan-akan aktif dalam melindungi Goldman Sachs, malah kerajaan AS dan Goldman Sachs seolah-olah bekerjasama demi kepentingan mereka semata-mata dan ini perkara ini amat merisaukan.

Hak kepada perbicaraan yang adil adalah hak asasi manusia,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN