KOTA BHARU: Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian dikhuatiri membawa lebih banyak mudarat kepada umat Islam di negara ini pada masa depan.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Nor berkata, antara mudarat tersebut ialah mengelirukan umat Islam dengan mengatakan ‘kalau kamu datang di gereja kami pun kamu masih beriman dengan Allah’.
Perkara itu juga kata beliau, akan membuka ruang kepada pihak tertentu untuk membuat gerakan mensyirikkan Allah SWT.
“Alasan mereka menggunakan nama Allah sekadar dalam buku rujukan menggambarkan seolah-olah Allah hanya perkataan biasa yang tidak perlu dihormati.
“Kebenaran penggunaan kalimah ini juga dikhuatiri akan disalah gunakan penganut agama lain untuk kepentingan perniagaan seperti restoran dan kedai makan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rabu lalu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian di negara ini menggunakan kalimah Allah dan tiga lagi istilah dalam penerbitan bagi tujuan pendidikan komuniti agama tersebut.
Turut dibenarkan ialah baitullah, kaabah dan solat.
Noor Hariri berkata, perkembangan terkini tersebut disifatkan memberi tamparan hebat kepada umat Islam di Malaysia yang kebetulan sedang menghayati peristiwa Israk dan Mikraj di bulan Rejab.
“Kami berasa pelik dan ingin mempersoalkan tujuan paderi di Semenanjung mahu menggunakan kalimah Allah, walaupun sejak kira-kira 500 tahun lalu Roman Katolik memasuki Melaka, tidak pernah pun mereka menggunakannya.
“Oleh itu kami menggesa Menteri Undang-Undang membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu bagi menunjukkan kerajaan serius menjaga hak kaum terbesar yang menganut Islam bagi mengelak tercetus ketidakharmonian antara agama,” katanya.- UTUSAN ONLINE