Keputusan bantah permohonan desak AG 27 April - Utusan Malaysia

Keputusan bantah permohonan desak AG 27 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara mengemukakan bantahan terhadap permohonan bekas Penyelaras Parlimen Jasin Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan agar mahkamah mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Azizan menasihatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar meletakkan jawatannya.

Bantahan tersebut dikemukakan Peguam Kanan Persekutuan, S. Narkunavathy sewaktu permohonan untuk mendapatkan kebenaran itu disebut pada prosiding di kamar hakim Mahkamah Tinggi di sini di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid.

Menurut Narkunavathy, bantahan dikemukakan atas empat alasan iaitu tindakan oleh Peguam Negara tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman dan pemohon (Khairuddin) tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan tersebut.

“Selain itu, relif yang dipohon juga berdasarkan fakta yang belum dikenal pasti dan tidak mempunyai sebarang kesan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding semakan kehakiman itu dan turut memaklumkan Hakim Ahmad Kamal akan membuat keputusan terhadap bantahan tersebut pada 27  April ini.

Sementara itu, peguam, Haniff Khatri Abdullah ketika ditemui mengesahkan tarikh keputusan berhubung bantahan Jabatan Peguam Negara itu.

Merujuk kepada bantahan yang dikemukan, peguam itu menyatakan, mana-mana rakyat yang merasakan kakitangan kerajaan tanpa mengira apa juga jawatan mereka, mempunyai hak untuk menegur.

“Kakitangan kerajaan, pemimpin telah mengangkat sumpah untuk menjalankan tugas mereka berdasarkan Perlembagaan dan sekiranyanya ia tidak dijalankan, rakyat ada hak. Permohonan (Khairuddin) ada kesannya.

“Jika mahkamah mengarahkan AG (Peguam Negara) untuk menasihati Perdana Menteri, dan beliau (Perdana Menteri) ikut nasihat tersebut, tiada masalah. Kalau tidak ikut, jadi kesannya rakyat yang akan menentukan kedudukannya pada pilihan raya akan datang,” ujar Haniff Khatri.

Pada 3 Februari lalu, Khairuddin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan memfailkan permohonan semakan kehakiman itu atas alasan Idrus telah gagal menjalankan tugasnya untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dengan memaklumkan bahawa Muhyiddin sudah tidak lagi memiliki sokongan majoriti ahli parlimen dan tidak layak untuk memberi apa-apa nasihat kepada baginda.

Sehubungan itu, Khairuddin memohon mahkamah mengeluarkan perintah mandamus (mendesak) terhadap Idrus selaku responden untuk menasihati Muhyiddin pergi menghadap Seri Paduka untuk meletakkan jawatannya selaku perdana menteri selepas hilang kepercayaan majoriti di Parlimen. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya