KUALA NERUS: UMNO akan menilai setiap kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah itu perlu bagi menyelesaikan kemelut berhubung pendirian UMNO Perlis untuk terus bekerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Saya ingat ada tindakan selanjutnya yang perlu dibuat tetapi kita kena tengok dahulu kenyataan dia macam mana.
“Kita tidak mahu sampai ke tahap pecat-memecat, maknanya sudah jadi krisis besar. Kalau ada salah faham kena berbincang sesama kita,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan bagi Program Ceria ke Sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2021 membabitkan peruntukan sebanyak RM110,000 di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Setiausaha parti itu, Datuk Rozi Mamat.
Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau turu menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Soal Shahidan, adakah menjadi satu kesalahan sekiranya beliau bekerjasama dengan parti-parti di dalam kerajaan PN termasuk Bersatu sedangkan UMNO juga sebahagian daripada kerajaan pimpinan Muhyiddin.
Dalam perkembangan sama, Mahdzir yang juga Pengerusi TNB mengingatkan ahli dan pemimpin UMNO agar tidak berpuak-puak dan berkumpulan.
Katanya, amalan berpuak-puak boleh membawa kebinasaan kepada parti. – UTUSAN ONLINE