Kenyataan Fadzil tidak merujuk kepada tekanan politik - Utusan Malaysia

Kenyataan Fadzil tidak merujuk kepada tekanan politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli ketika membahaskan ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 kelmarin, sama sekali tidak merujuk kepada sebarang tekanan politik dan layanan berbeza oleh Menteri Besar serta pentadbirannya kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ariffin Man berkata, Mohamad Fadzil sekadar berseloroh mengenai perbualan yang berlaku antara beberapa penyokong Pas dengan beliau ketika menjalankan tugasnya sebagai Pegawai Khas Menteri Besar.

Malah, katanya, Mohamad Fadzil juga tidak menyebut mahu pun merujuk kepada mana-mana pemegang jawatan rasmi dalam pentadbiran Menteri Besar ketika menyempurnakan perbahasan tersebut.

“UMNO Kedah telah mendapatkan jawapan daripada Mohamad Fadzil sendiri berhubung perkara itu dengan beliau sama sekali tidak berniat merujuk kepada urus tadbir Pejabat Menteri Besar.

“Justeru, ada baiknya pihak Menteri Besar meneliti semula ucapan tersebut selain mendapatkan penjelasan sebenar daripada Mohamad Fadzil sendiri berhubung perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu dalam perbahasannya kelmarin, Mohamad Fadzil berkata beliau terkontang-kanting sebagai satu-satunya pegawai khas dari UMNO di Pejabat Menteri Besar Kedah dan berdepan kutukan berhubung isu i-Sinar dan moratorium diperjuangkan Pemuda UMNO.

Semalam, Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar, Datuk Armishah Siraj menerusi satu kenyataan mendakwa kenyataan dibuat Mohamad Fadzil bertindak secara tidak matang dan profesional dalam mengemukakan contoh yang diciptanya, semata-mata mahu menjadikan perbahasannya lebih menarik dan diberi tumpuan.

Malah, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor sendiri membuat hantaran dalam laman Facebooknya berhubung perkara itu dengan mendakwa Mohamad Fadzil tidak bercakap benar hingga menimbulkan persepsi bahawa pegawai khas Menteri Besar dari UMNO seolah-lah dibuli.

Ariffin menambah, apa yang lebih penting dalam ucapan Mohamad Fadzil itu adalah, niat sebenarnya dalam menyampaikan wadah supaya UMNO terus menyusuri kehendak rakyat.

Selain itu, UMNO Kedah percaya urus tadbir Pejabat Menteri Besar Kedah sentiasa dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dari sudut profesionalisme, adil, berhemah dan saksama.

“Justeru UMNO Kedah berharap supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan harmoni dan berkhimah,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya