Kenduri kahwin ‘48 jam’ - Utusan Malaysia

Kenduri kahwin ‘48 jam’

PASANGAN pengantin Mohd. Zulhusaini Hassan dan Nuramira Abdullah mengadakan majlis perkahwinan dua hari selepas PKPP berkuatkuasa di Melaka. -UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Saya tidak mahu tunggu lama untuk langsung majlis persandingan anak lelaki, kalau tunggu, mungkin tak akan jadi,” kata Hassan Wahab, 52.

Hanya dalam tempoh yang amat singkat, iaitu 48 jam, dia membuat keputusan untuk melangsungkan perkahwinan anak ketiganya, Mohd. Zulhusaini, 25, dan pasangannya, Nuramira Abdullah, 24, di Dewan Haji Taha Abbas, Tanjong Kling dekat sini, semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hassan memberitahu, sebaik sahaja kerajaan mengumumkan majlis perkahwinan boleh dilangsungkan mengikut kapasiti keluasan premis apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasa, dia dan keluarga terus mencari lokasi yang bersesuaian mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP).

“Ini satu keputusan yang cukup drastik saya buat, tetapi saya tidak ada pilihan. Kalau hendak tunggu masa yang sesuai, saya bimbang kalau PKPP ini ditarik balik sekiranya berlaku peningkatan wabak Covid-19.

“Pihak perempuan pun setuju dan kami seluruh keluarga bekerja keras sejak Jumaat lepas buat
persiapan majlis perkahwinan yang termampu termasuk menjemput sanak saudara, sahabat handai dan penduduk kampung.

“Bayangkan dalam tempoh dua hari, kami bertungkus lumus mengatur majlis perkahwinan dan kebetulan pula Dewan Haji Taha Abbas tidak ada penyewa. Saya terus tempah dan siap semuanya. Alhamdulillah majlis berjalan lancar walaupun hujan,” jelasnya.

Hassan menambah , majlis yang diadakannya telah mengikut SOP yang ditetapkan, yang mana semua tetamu perlu membuat pendaftaran MySejahtera dan memeriksa suhu badan sebelum memasuki dewan.

Katanya, tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut diamanahkan untuk mengawal dan memastikan tetamu yang hadir mematuhi SOP.

Sementara itu, Mohd. Zulhusaini melahirkan rasa syukur kerana majlis perkahwinan dapat dilangsungkan walaupun tempoh membuat persiapan hanya selama dua hari.

“Saya bertunang pada awal Januari lalu iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 13 Januari. Saya mula resah bila nak pilih tarikh majlis perkahwinan hendak diadakan.

“Ayah cakap, sebaik kerajaan umum majlis perkahwinan boleh diadakan, kita terus adakan majlis dan tidak perlu tunggu lama-lama atau nak fikir tarikh yang sesuai,” katanya yang mengenali isterinya sejak tujuh tahun lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN