JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail menempelak tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini yang mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung kedudukan Datuk Seri Dr. Santhara Kumar yang dikatakan memiliki dua kerakyatan.
Jelas Natrah, sekiranya Santhara memiliki kerakyatan New Zealand, statusnya sebagai Ahli Parlimen boleh tergugur sekali gus menuntut Pilihan Raya Kecil di Segamat.
“Desas desus bertiup kencang bahawa Datuk Seri Dr Santhara Kumar memiliki dua kerakyatan. Ada juga sumber mengatakan beliau memiliki PR (penduduk tetap).
“Perkara ini bukan main-main. Ia melibatkan Perlembagaan Persekutuan dan secara jelas menghina amalan demokrasi berparlimen di negara ini.
“Amat mustahil jika anak dan keluarganya memiliki kerakyatan New Zealand sedangkan beliau tiada? Amat janggal jika keluarganya beroleh kerakyatan jika beliau tiada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Natrah turut mempersoalkan sikap ‘double standard’ yang diambil pihak kerajaan apabila tiada siasatan dijalankan manakala perkara sama sudah dibincangkan oleh kerajaan New Zealand di Parlimen mereka.
Tambahnya, jika masalah ini berlaku dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang, beliau yakin kerajaan akan bertindak pantas seakan mereka adalah hero di mata rakyat.
“Apabila melibatkan ahli bersekutu sendiri, kerajaan langsung tidak mengendahkan perkara itu bahkan seperti tiada apa-apa yang berlaku.
“Apa yang istimewanya Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dah Ahli Parlimen Segamat ini, sehinggakan tiada siasatan dilakukan? Kenapa perlu double standard?
“Jika melibatkan rakyat marhaen, cepat pula mengenakan kompaun sehingga RM10,000 kononnya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. Saya amat berharap Tan Sri Annuar Musa yang selama ini lantang bersuara supaya memberikan maklum balas,” katanya. -UTUSAN ONLINE