KUANTAN: Hasrat seorang suri rumah ingin melaram dengan tiga utas rantai leher berkecai akibat ditipu penjual emas murah di laman sosial Facebook.
Kejadian bermula pada 8 Mac lalu selepas suri rumah yang berusia 50 tahun dari Triang, Bera itu tergoda melihat iklan jualan emas murah di laman sosial tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa lantas melanjutkan urusan jual beli dengan seorang wanita.
Menurutnya, mangsa melakukan transaksi pemindahan wang pendahuluan RM100 ke dalam akaun wanita tersebut berselang beberapa jam sejurus mencapai persetujuan dalam urusan jual beli.
“Kemudian pada 12 Mac lalu, mangsa memindahkan baki RM1,400 ke dalam akaun bank yang sama.
“Setelah wang itu dimasukkan, penjual gagal dihubungi. Mangsa berasa tertipu dan tampil membuat laporan polis (semalam),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Triang dan kes tersebut kini dalam siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE