Kempen pembudayaan norma baharu di destinasi pelancongan Terengganu - Utusan Malaysia

Kempen pembudayaan norma baharu di destinasi pelancongan Terengganu

AHMAD Ammar Othman (empat dari kanan) bersama penduduk Pulau Perhentian menunjukkan plakad dan risalah kempen pembudayaan norma baharu di Pulau Perhentian di Besut, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Jabatan Penerangan Terengganu giat melaksanakan kempen pembudayaan norma baharu di destinasi pelancongan di negeri ini sebagai persediaan menerima limpahan pengunjung sebaik sahaja aktiviti rentas negeri dibenarkan.

Pengarahnya, Ahmad Ammar Othman berkata, aktiviti turun padang itu disasarkan di pulau-pulau peranginan dan lokasi tumpuan orang ramai termasuk di Tasik Kenyir bagi mendedahkan komuniti setempat dengan pembudayaan norma baharu.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab jabatan itu untuk berjumpa dengan masyarakat terutama mereka yang terbabit dalam industri pelancongan agar rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan.

“Pulau-pulau peranginan di Terengganu menarik ramai pengunjung luar dan risiko penularan wabak tinggi, jadi, adalah amat penting untuk penduduk setempat mendapat maklumat tepat mengenai pembudayaan norma baharu,” katanya selepas program Komunikasi Tindakan Setempat : Pembudayaan Norma Baharu di Pulau Perhentian di sini semalam.

Program sehari itu diadakan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pejabat Daerah Besut dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Perhentian.

Menurut Ahmad Ammar, selain mengedarkan risalah berkaitan norma baharu dan keperluan menerima vaksin Covid-19, pihaknya dengan kerjasama penduduk setempat turut menggantung kain rentang di seluruh kawasan Pulau Perhentian di samping meletakkan kod QR bahan terbitan jabatan berkenaan di kawasan tumpuan orang ramai.

Sementara itu, Pengerusi JPKK Pulau Perhentian, Zakuan Mat Nasir berkata, pihaknya sudah bersedia menerima kedatangan pelancong dengan amalan norma baharu dan sesi turun padang yang dirintis Jabatan Penerangan bersama agensi terlibat secara tidak langsung memudahkan penggiat industri pelancongan membudayakan amalan tersebut.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN