GEORGETOWN: Kementerian Pendidikan perlu memberi penjelasan kepada ibu bapa mengenai prosedur operasi standard (SOP) terkini pencegahan Covid-19 di sekolah-sekolah bagi memastikan pelajar dilindungi sepenuhnya daripada risiko penularan wabak berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan
Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, ini kerana peperangan untuk melawan Covid-19 di negara ini belum tamat namun pada masa sama sesi persekolahan telah bermula malah guru-guru juga masih belum menerima vaksin Covid-19 sepenuhnya.
“Saya meminta Menteri Pendidikan Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin memberikan jawapan apakah SOP terkini di sekolah, sebagai ibu bapa kita risau dengan keselamatan anak-anak di sekolah.
“Sebagai bapa saya tidak nyatakan agar sekolah ditutup, cuma Kementerian Pendidikan perlu perhalusi semua SOP terkini pencegahan Covid-19 di sekolah-sekolah kerana keselamatan anak-anak adalah keutamaan kita.
“Sebagai contoh, di luar kalau kita tidak pakai pelitup muka denda RM10,000 dikenakan, apakah anak-anak kita disekolah dikenakan denda yang sama jika mereka tidak memakai pelitup muka,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Pasar Awam Jalan Kuantan di sini hari ini.
Semalam Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cempaka, Tampoi, diarah tutup sementara bermula semalam sehingga 25 Mac ini, berikutan wabak Covid-19 dikesan di sekolah berkenaan.
Selain itu, pihak berkuasa juga menutup dua buah sekolah rendah di dua zon di Sibu bermula semalam selepas kedua-dua zon itu bertukar status kepada merah akibat peningkatan kes Covid-19.
Menurut Jagdeep, Kementerian Pendidikan juga perlu mempertimbang untuk menutup sekolah-sekolah dengan segera sekiranya terdapat jangkitan Covid-19 dalam kalangan guru dan pelajar.
“Kalau lihat ada sekolah yang tidak selamat amat perlu untuk Kementerian Pendidikan arah sekolah ini ditutup.
“Kita tidak mahu wujud kluster-kluster baharu melibatkan sekolah pula selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu katanya, beliau juga berharap proses untuk memberikan vaksin kepada guru-guru di Pulau Pinang dapat dipercepat bagi melindungi pelajar serta warga pendidik.
“Di Perak telah dipastikan 5,000 guru akan menerima vaksin dan saya menyambut baik perkara ini, saya juga harap di Pulau Pinang lebih ramai guru akan menerima vaksin Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE