Kementerian Kewangan pantau kadar hutang negara - Tengku Zafrul - Utusan Malaysia

Kementerian Kewangan pantau kadar hutang negara – Tengku Zafrul

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan akan terus memantau hutang negara bagi memastikan ia terkawal sekali gus mengekalkan keyakinan pelabur dan agensi antarabangsa.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tanpa keyakinan pelabur, rakyat akan terkesan dengan pelbagai kesan negatif seperti kurangnya peluang pekerjaan dan perniagaan.

Namun katanya, apabila negara berada dalam krisis ekonomi, maka keperluan perbelanjaan untuk rakyat akan lebih besar menyebabkan paras hutang juga meningkat.

“Dalam keadaan ekonomi biasa, kerajaan perlu menyeimbangkan di antara perbelanjaan untuk rakyat dan kadar hutang negara.

“Ekoran itu, kerajaan telah meletakkan kepentingan untuk membantu rakyat sebagai keutamaan termasuk menyuntik sejumlah RM340 bilion ke dalam ekonomi melalui beberapa siri pakej stimulus.

“Ini akan menaikkan hutang tanpa melepasi had statutori seperti yang telah ditetapkan undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tengku Zafrul berkata, buat masa ini, hutang kerajaan masih di bawah had statutori mengikut undang-undang tidak seperti didakwa beberapa pihak dengan menjelaskan hutang terbahagi dua iaitu hutang baik dan hutang buruk.

Menurutnya, hutang yang baik adalah seperti pinjaman yang diambil bagi menampung kos inisiatif bagi membantu rakyat dan menyelamatkan pekerjaan dan pinjaman bagi membangunkan infrastruktur untuk rakyat.

“Hutang buruk pula adalah hutang yang tidak membawa sebarang faedah ekonomi atau manfaat untuk rakyat hari ini. Ada sebahagian hutang yang perlu kerajaan urus hari ini disebabkan bebanan hutang yang buruk tinggalan pentadbiran terdahulu.

“Walaupun hutang itu bukan hutang yang dibuat kerajaan hari ini tetapi ia tetap hutang yang perlu kita uruskan,” katanya.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) melanggar had statutori hutang sehingga melepas kadar siling 60 peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya