Keluar parti lumrah politik - Utusan Malaysia

Keluar parti lumrah politik

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kehilangan pemimpin parti politik termasuk dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan sebagai lumrah politik dan perkara biasa.

Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, parti itu sudah menghadapi keadaan berkenaan sebelum 2008.

“Sebelum ini, kita juga memang pernah hilang Angkatan Muda Keadilan (AMK), Timbalan Presiden dan banyak lagi pihak.

“Perkara seumpama ini adalah lumrah politik yang perlu dilalui dengan penuh sabar,” katanya mengulas tindakan peletakan jawatan serta merta Datuk Dr. Xavier Jayakumar sebagai Naib Presiden dan ahli PKR.

Terdahulu, Amirudin hadir merasmikan Pasar Moden Sri Muda, Seksyen 25 di sini hari ini yang turut dihadiri, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin negeri, V. Ganabatirau dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.

Semalam, Xavier yang bersama PKR sejak 1998 mengumumkan peletakan jawatan itu selepas kecewa ada parti terus membincangkan mengenai pilihan raya sedangkan fokus utama sepatutnya adalah membantu rakyat.

Xavier kini menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan akan meneruskan tugas beliau sebagai ahli Parlimen bebas di Kuala Langat.

Terdahulu, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dari Sarawak dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong turut meninggalkan PKR dan kini menjadi ahli Parlimen bebas.

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata, tindakan Xavier itu tidak sesekali menjejaskan kekukuhan PKR.

Ujar beliau, beberapa keputusan sudah dicapai menerusi mesyuarat dengan pimpinan parti susulan tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat itu semalam.

“Namun, kita akan memuktamadkan keputusan itu pada mesyuarat jawatankuasa Cabang Kuala Langat yang akan dipengerusikan Timbalan Pengerusi PKR negeri, Hee Loy Sian hari ini.

“Bagaimanapun, ingin ditegaskan bahawa parti kita masih kukuh dan tidak terjejas dengan perkara tersebut (peletakan jawatan Xavier),” katanya- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya