Kelancaran vaksin beri impak positif pembukaan sempadan Johor-Singapura - Utusan Malaysia

Kelancaran vaksin beri impak positif pembukaan sempadan Johor-Singapura

HASNI Mohammad (empat dari kiri) berbual mesra dengan para peserta muzakarah sambil diperhatikan Tosrin Jarvanthi (kanan) sempena Majlis Perasmian Muzakarah Pembangunan Mampan Johor 2030 Islam Memperkasakan Pembangunan Ummah di Pusat Islam Iskandar Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kelancaran pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 bagi penduduk di negeri ini akan memberi impak positif terhadap usaha pembukaan semula sempadan antara Malaysia dan Singapura.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, bagaimanapun katanya, jumlah rakyat yang berdaftar untuk proses vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera hanya membabitkan kira-kira 700,000 individu iaitu 27 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan.

“Jumlah ini kalau kita lihat, masih lagi rendah. Kalau kita dapat daftar lebih ramai, saya yakin usaha ini akan menyumbang kepada pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Pelan Pembangunan Mapan Johor 2030 di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Tosrin Jarvanthi dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Kelmarin, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatnya, Dr. Vivian Balakrishnan melakukan pertemuan di Putrajaya yang bersetuju mempercepatkan program vaksinasi masing-masing.

Ini termasuk rakyat Malaysia yang menetap di Singapura dan rakyat Singapura yang menetap di Malaysia.

Hishammuddin berkata, dengan lebih ramai rakyat melalui proses vaksinasi memudahkan usaha Wisma Putra dan Kementerian Luar Singapura untuk memudah cara dan menyelaras usaha berkenaan.

Dalam pada itu, Hasni berkata, usaha meningkatkan pendaftaran proses vaksinasi perlu dipertingkatkan di peringkat daerah dengan membuka pusat-pusat pendaftaran.

Jelasnya, inisiatif tersebut secara tidak langsung menggalakkan lebih ramai penduduk dibantu dari segi membuat pendaftaran bagi program vaksinasi tersebut.

“Ia tidak seharusnya diserahkan kepada kerajaan sahaja sebaliknya ketua kampung dan pemimpin masyarakat perlu membantu serta memainkan peranan supaya lebih ramai menerima vaksin,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Besar selesai mengambil suntikan kedua vaksin pada pukul 10.51 pagi tadi di Pusat Pemberian Vaksin Johor Bahru di Dewan Muafakat Johor, Taman Adda, di sini.

Menurutnya, beliau mahu rakyat di negeri ini turut mengambil langkah yang sama bagi memastikan sasaran 80 peratus penduduk mendapat vaksin tercapai.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN