HULU TERENGGANU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Amir Azzizol Abu Bakri, 22, yang dikhuatiri lemas di Sungai Petuang, Tasik Kenyir di sini berdepan cabaran berikutan keadaan di dasar tasik yang berkeladak dan berselut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Muhammad Basri Kamarulzaman berkata, situasi itu secara tidak langsung menyukarkan penglihatan pasukannya di samping suhu air yang sejuk mencecah 17 darjah Celsius pada kedalaman 17 meter.
Katanya, SAR yang memasuki hari ketiga diteruskan pada radius dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas membabitkan kekuatan kira-kira 60 anggota daripada pelbagai agensi dan jabatan.
“Selain pencarian di permukaan, selaman turut dilakukan oleh 15 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), namun dihentikan seketika pada sebelah petang berikutan hujan dan ribut.
“Kita akan menilai untuk menggunakan khidmat unit anjing pengesan, tetapi setakat ini mungkin belum ada keperluan kerana tiada arus kuat yang boleh menolak atau menghanyutkan mangsa lebih jauh,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang kelmarin, Amir Azzizol yang baharu melangsungkan perkahwinan pada 21 Mac lalu dikatakan berenang ke sungai berkenaan tanpa memakai jaket keselamatan.
Muhammad Basri berkata, operasi hari ini masih belum menemukan sebarang petunjuk, bagaimanapun dia menjangkakan mangsa akan timbul di permukaan dalam tempoh tiga hari lagi.