Kelab TaHa tawar lebih banyak faedah - Utusan Malaysia

Kelab TaHa tawar lebih banyak faedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) melancarkan Kelab TaHa yang dijenamakan semula untuk menarik lebih ramai penyimpan muda dan memberikan lebih banyak faedah kepada lebih dari dua juta anggotanya.

Pengarah Eksekutif Operasi Tabung Haji, Mustakim Mohamad berkata, lembaga itu berharap dapat menjangkau generasi muda melalui Kelab TaHa dengan menawarkan keistimewaan dan aktiviti untuk menarik mereka menabung dari usia muda terutama simpanan bagi menunaikan haji.

“Kelab ini wujud selama hampir 13 tahun sejak penubuhannya pada April 2008. Kami merancang membawa kelab maju dengan penampilan baharu dan menawarkan keistimewaan lebih menarik.

“Ini sebagai sebahagian daripada transformasi kami menjadi lebih terkini untuk keuntungan pendeposit muda Tabung Haji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Latihan penjenamaan semula Kelab TaHa mewakili permulaan baharu untuk perjalanan kelab menjadi lebih terkini dan relevan bagi generasi muda di negara ini.

Penjenamaan semula menampilkan logo kelab baharu yang lebih moden dengan menggabungkan huruf Jawi ‘Ta’ dan ‘Ha’, yang merupakan singkatan dari Tabung Haji.

Gabungan kedua huruf Jawi menghasilkan emoji senyum melambangkan sikap positif yang diperlukan untuk mencapai kejayaan.

Mustakim berkata, keahlian kelab tidak lagi terhad kepada pendeposit di sekolah rendah dan menengah sahaja tetapi dibuka untuk semua pendeposit muda sejak bayi baru lahir hingga 17 tahun.

“Ahli tidak perlu mendaftar dan keahliannya adalah automatik serta percuma,” katanya.

Menurut beliau, Kelab TaHa menawarkan kandungan e-pembelajaran dan bahan bacaan kepada semua anggotanya melalui Rakan Kelabnya terdiri daripada Kedai Buku MPH dan Learninpal.

“Rakan Kelab lain seperti Menara Optometry, F&N, The Family Storybox, Yayasan Ihsan, Percetakan Nasional Malaysia Berhad dan Tabung Haji Travel & Services juga menawarkan keistimewaan kepada ahli Kelab TaHa dengan potongan harga dan peluang eksklusif untuk memenangi hadiah menarik,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyaataan itu, Tabung Haji menjalankan kempen simpanan Daftar & Menang eksklusif untuk ahli Kelab TaHa dengan ibu bapa perlu menambah simpanan bersih sekurang-kurangnya RM1,300 ke dalam akaun anak-anak mereka serta mendaftarkannya untuk menunaikan haji.

“Ahli Kelab TaHa berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM100,000 sepanjang tahun,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN