Kedutaan di Pyongyang ditutup, semua diplomat Korea Utara juga diarah keluar - Utusan Malaysia

Kedutaan di Pyongyang ditutup, semua diplomat Korea Utara juga diarah keluar

WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia bertindak balas dengan mengarahkan agar semua diplomat Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur keluar segera meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.

Langkah tersebut sebagai susulan keputusan drastik kerajaan negara rejim komunis tersebut hari ini yang mengarahkan penutupan misi Kedutaan Malaysia di ibu kotanya, Pyongyang.

“Kerajaan Malaysia kini mengikut jejak Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) menutup Kedutaan Malaysia di ibu negaranya yang operasinya memang sudah digantung sejak 2017.

“Pada masa sama, kerajaan Malaysia juga memerintahkan semua staf diplomatik di Kedutaan DPRK untuk keluar dari negara ini dalam masa 48 jam.” kata kenyataan Wisma Putra di sini.

Tindakan itu menurutnya, sebagai merujuk kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia berkuat kuasa pada hari ini.

Ia ekoran keputusan sebuah mahkamah di Kuala Lumpur yang mengarahkan seorang rakyat Korea Utara, Mun Chol Myong diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan jenayah.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Malaysia amat menjunjung tinggi prinsip keadilan dan kebebasan keluhuran undang-undang dalam pengendalian kes warga berkenaan selama ini.

“Perbicaraan tertuduh juga dilaksanakan mengikut lunas perundangan dan Malaysia bertegas menolak permintaan DPRK untuk campur tangan terhadap sistem kehakiman negara ini.

“Proses ekstradisi turut dilakukan setelah beberapa kali terpaksa ditunda manakala hak Chol Myong semasa dalam tahanan polis juga dijamin mengikut peraturan,” tambah Wisma Putra.

Ini ujarnya, termasuk langsung tidak dinafikan akses beliau untuk bebas bertemu peguam bela selain bantuan konsular dari pihak kedutaan dan siri lawatan oleh ahli keluarganya sendiri.

Chol Myong jelas Wisma Putra, ditahan oleh pihak berkuasa negara ini pada 14 Mei 2019 dengan berdasarkan waran penangkapan di bawah Seksyen 13 (1)(b) Akta Ekstradisi 1992.

Beliau didakwa atas kesalahan konspirasi penggubahan wang haram serta pelanggaran sekatan perdagangan dengan Korea Utara yang dilaksanakan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

“Semua kes berkenaan tertakluk di bawah undang-undang Malaysia sebelum beliau dihadap ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Disember 2019 sebelum disabitkan kesalahan.

“Permohonan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Disember 2019 dan rayuan beliau di Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober 2020 juga ditolak,” katanya.

Justeru, Wisma Putra menegaskan yang Malaysia berhak mempertahankan kedaulatan dan melindungi kepentingan negara ini selagi mana berdasarkan prinsip kedaulatan perundangan.

Malangnya, kerajaan Malaysia percaya, pendirian tegas berkenaan yang sepatutnya dihargai dan difahami oleh negara sahabat tersebut sebaliknya menerima maklum balas tidak positif.

Sehubungan itu, kerajaan melahirkan kekesalan atas tindakan keras Korea Utara hari ini dan menyifatkan keputusan drastik pihak Pyongyang tersebut sebagai amat tidak konstruktif.

“Malaysia sentiasa menganggap DPRK selama ini sebagai rakan karib sejak mula hubungan diplomatik diwujudkan secara rasmi pada 1973 lepas,” tambah kenyataan Wisma Putra lagi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya