Kedudukan pegawai daerah lebih tinggi daripada ahli Parlimen, ADUN - Utusan Malaysia

Kedudukan pegawai daerah lebih tinggi daripada ahli Parlimen, ADUN

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, kedudukan pegawai daerah di negeri ini adalah lebih tinggi daripada ahli Parlimen ataupun ahli dewan undangan negeri (ADUN).

Titah baginda, hal itu kerana sejak dahulu lagi, pegawai daerah dianggap sebagai wakil kepada raja kerana mereka adalah ketua utama bagi pentadbiran kerajaan di peringkat daerah.

“Sebab itu, pegawai daerah yang hendak dilantik akan dipilih oleh saya sendiri. Pemimpin politik hanya boleh membawa isu masyarakat, tetapi, mereka tidak boleh mencampuri urusan pegawai daerah,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Majlis Pelancaran Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (Akademi JCS) dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Kerjasama di Pusat Perdagangan Antarabangsa Persada, di sini hari ini.

Majlis berkenaan diadakan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda, hari ini.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tambah Sultan Ibrahim, baru-baru ini, pihaknya mendapat rungutan mengenai pelantikan jawatan ketua kampung yang dipengaruhi parti politik.

“Saya sudah tegaskan dahulu, bahawa urusan pemilihan ketua kampung adalah dibawah tanggungjawab pegawai daerah dan penghulu, bukan orang politik. Saya harap perkara ini dapat dibetulkan,” titah baginda.

Dalam pada itu, titah Sultan Johor, penubuhan Akademi JCS merupakan satu langkah strategik untuk meningkatkan kecekapan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri Johor.

Sultan Ibrahim bertitah, selain memberi ilmu pengetahuan, akademi itu akan dapat meningkatkan lagi keupayaan pentadbiran individu yang memegang jawatan.

“Akademi JCS harus memberikan pendedahan dan pengajaran mengenai kes-kes mahkamah yang merugikan kerajaan disebabkan tindakan dan keputusan yang silap, serta perjanjian berat sebelah supaya kesilapan dibuat tidak berulang kembali.

“Saya berharap akademi ini akan menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan peningkatan mutu perkhidmatan awam Negeri Johor,” titah baginda yang menyifatkan penubuhan Akademi JCS adalah tepat pada masanya.

Sultan Ibrahim berharap, melalui jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta badan profesional, Akademi JCS akan memberi nilai tambah kepada peningkatan ilmu pengetahuan dan perkongsian pengalaman dalam pelbagai bidang.

“Ia perlu berfungsi sebagai sebuah badan perkembangan ilmu untuk melahirkan kakitangan kerajaan yang mahir dalam bidang pengurusan dan pembentukan dasar negeri.

“Oleh itu, saya menggesa semua supaya mengambil peluang yang ada untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kepada rakyat,” titahnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN