GEORGETOWN: Umpama sarang tikus. Itu perkataan yang sesuai bagi menggambarkan sebuah kedai runcit di Jalan Magazine di sini yang dipenuhi haiwan perosak berkenaan.
Selain berkeliaran di merata-rata tempat, najis tikus turut memenuhi bahagian penyimpanan di kedai runcit berkenaan yang dikendalikan oleh warga asing.
Tambah menjijikkan, haiwan perosak itu turut ditemukan di dalam ruang peti sejuk beku yang menyimpan ikan, daging dan ayam di belakang kedai runcit tersebut.
Malah sebelum ini, Utusan Malaysia juga pernah melaporkan mengenai premis sama yang dikendalikan oleh warga asing melalui siri laporan khas tahun lalu.
Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Mohd. Wazir Khalid, kedai runcit berkenaan dikesan dikendalikan warga Bangladesh sejak beberapa tahun lalu walaupun lesen yang dikeluarkan adalah di atas nama pemilik warga tempatan.
“Ketika serbuan dijalankan pemilik premis tiada di kedai berkenaan dan kita dapati kedai ini diuruskan oleh warga Bangladesh.
“Kedai ini didapati kotor dan tidak mengikut piawaian kebersihan yang ditetapkan malah tikus juga didapati berkeliaran di kedai ini,” katanya di sini hari ini.
Mohd Wazir berkata, pihaknya juga mendapati ayam disembelih di dalam premis berkenaan dan jelas menyalahi syarat lesen premis itu.
“Pihak kami telah mengeluarkan dua notis kompaun bernilai RM3,500 di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) kepada pemilik premis ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), M.Bawani berkata, pihaknya sebelum ini telah beberapa kali menjalankan serbuan ke atas premis berkenaan sejak 2017, namun mendapati pemilik masih melakukan kesalahan sama dengan menyerahkan urusan kedai kepada warga asing.
“Kali ini pihak kami telah mengarahkan premis berkenaan ditutup selama 14 hari dan meminta pemilik premis menjalankan operasi pembersihan kedai berkenaan,” katanya.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan, dua buah premis pembuatan fucuk yang beroperasi sejak hampir 60 tahun di Tanjung Bungah di sini, turut dikenakan kompaun dan notis oleh JKNPP dan MBPP kerana beroperasi tanpa lesen sah.
Malah, kedai itu juga didapati tidak mematuhi piawaian keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan.
Inspektor Kesihatan MBPP, N. Yogeinthiran berkata, pihaknya telah mengenakan kompaun bulanan berjumlah RM250 kepada pemilik premis dan pihaknya akan menjalankan pemantauan secara berkala di premis berkenaan. – UTUSAN ONLINE