Kecederaan tembus di kepala Nazrin - Forensik - Utusan Malaysia

Kecederaan tembus di kepala Nazrin – Forensik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Terdapat kecederaan tembus di bahagian kepala Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle Fund), Nazrin Hassan yang ditemukan mati di rumahnya, tiga tahun lalu.

Saksi pendakwaan ke-46 yang juga Pakar Perunding Perubatan Forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Siew Sheue Feng, 50, berkata, bagaimanapun beliau tidak dapat memastikan punca tepat yang menyebabkan kecederaan itu.

“Saiz kecederaan itu (kepala), adalah sedalam 6.8 sentimeter manakala ukur lilit pada kecederaan adalah 5 kali 4 sentimeter (sm),” katanya.

Beliau memberitahu demikian di Mahkamah Tinggi, hari ini bagi menjawab soalan pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail mengenai saiz kecederaan pada kepala Nazrin yang merujuk 16 kecederaan hasil laporan bedah siasat dilakukan.

Sementara itu dalam pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu berkata, berdasarkan imbasan tomografi berkomputer (CT), terdapat kecederaan iaitu 6.8 sentimeter dan 5 kali 4 sentimeter seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Dalam perbicaraan itu, Muhammad Shafee turut menunjukkan kepada saksi animasi melalui video bagaimana api marak di bilik Nazrin dan si mati panik sebelum jatuh dan terhantuk sisi katil.

Semalam Sheue Feng memaklumkan kepada mahkamah bahawa Nazrin telah meninggal dunia sebelum kebakaran berlaku di rumahnya.

Beliau yang berpengalaman melakukan lebih 2,000 bedah siasat, turut menyenaraikan 16 tanda kecederaan yang ada pada badan Nazrin.

Antaranya, ialah luka menembus berukuran 5 kali 4 sm di bahagianparietal kiri, luka menembus berukuran 2 kali 1 sm sentimeter di sebelah kanan dahi dan luka menembus berukuran 2 kali 1.5 sm di bahagian atas bahagian depan leher.

Perbicaraan bersambung lagi Selasa ini.

Mengikut pertuduhan, Samirah Muzaffar, 45, dan dua lagi remaja serta seorang lagi yang masih bebas warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari didakwa dengan niat bersama-sama melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian ke atas Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada 13 Jun hingga 14 Jun 2018.

Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan – timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah, Ashyraf Ashy’ari, Siti Rohaida Che Hamid dan Mohd. Asnawi Abu Hanipah.

Selain Muhammad Shafee, pembelaan diwakili L.S Leonard, S.Suresh, Rahmat Hazlan, Savreena Kaur, Mardhiyah Siraj dan Zahriah Eleena Redza. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya