Keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech selepas dos kedua - Utusan Malaysia

Keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech selepas dos kedua

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keberkesanan jangka panjang seseorang yang menerima suntikan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech dengan peningkatan ketara antibodi boleh dilihat selepas pengambilan dos kedua

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, justeru, kelewatan mendapatkan dos kedua mungkin melambatkan penghasilan antibodi yang optimum.

Beliau menjelaskan, tahap keberkesanan vaksin tersebut dilaporkan sebagai 94.6 peratus dalam mencegah jangkitan SARS CoV2 bergejala, berdasarkan kajian klinikal fasa 3 yang melibatkan suntikan dua dos dengan selang masa 21 hari (selang masa dibenarkan adalah sehingga 42 hari).

Bagaimanapun, katanya, Strategic Advisory Group of Experts on Immunization (SAGE) daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar dos kedua diberikan selepas 21-28 hari daripada dos pertama.

“Berdasarkan pemerhatian dalam kajian klinikal tersebut, keberkesanan vaksin Comirnaty ditunjukkan bermula hari ke-12 selepas pemberian dos pertama dan mencapai kira-kira 89 peratus keberkesanan antara hari ke-14 dan 21, iaitu pada masa dos kedua akan diberikan.

“Pada masa ini, keberkesanan jangka panjang untuk pemberian satu dos vaksin Comirnaty tidak diketahui kerana penerima vaksin dalam kajian klinikal tersebut menerima dua dos dengan selang masa antara 19 hingga 42 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini sebagai memberi penjelasan berkenaan pemberian dua dos vaksin tersebut.

Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan terhadap vaksin yang digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Katanya, ia melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan pharmacovigilance bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut sentiasa terjamin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya