Kawanan kerbau ‘tawan’ jalan raya - Utusan Malaysia

Kawanan kerbau ‘tawan’ jalan raya

KAWANAN kerbau yang diternak secara lepas melintas jalan utama Pasir Puteh-Gong Kulim sering menggangu lalu lintas di Pasir Puteh, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Kawanan haiwan ternakan dilepas bebas mungkin dianggap normal di tempat lain, namun, di Jalan Pasir Puteh-Gong Kulim, di sini, masalah itu disifatkan serius kerana jalan raya seolah-olah sudah ‘ditawan’ kerbau.

Bagi pengguna jalan raya, puluhan kerbau yang bebas berkeliaran, melintas dan ‘bersantai’ di tengah-tengah jalan itu perlu diberi perhatian segera oleh pihak berkuasa bagi mengelak kemalangan terutama pada waktu malam.

Pengguna jalan raya, Khaidir Abdullah, 30, berkata, keadaan itu berlaku sejak sekian lama menyebabkan pengguna jalan raya perlu lebih berwaspada terhadap kemungkinan ‘haiwan bertanduk tajam’ yang melintas jalan secara tiba-tiba.

Menurutnya, kemalangan pada waktu malam juga pernah berlaku apabila kenderaan penduduk gagal mengelak lalu merempuh kerbau yang melintas berikutan keadaan yang gelap.

“Jalan ini terutama di simpang masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Aman dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh bagaikan kandang kerbau pada setiap pagi. Malah, banyak najis dilepaskan di atas jalan raya.

“Jalan ini lebih dikenali sebagai ‘kandang kerbau’ oleh penduduk setempat. Masalah ini sudah bertahun-tahun dan gagal diselesaikan sehingga sekarang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Seorang lagi pengguna jalan raya, Ismail Muhammad, 47, berkata, pemilik kerbau berkenaan perlu diberi amaran serta penjelasan mengenai kemungkinan buruk yang boleh berlaku disebabkan amalan mereka melepaskan haiwan ternakan berkeliaran.

“Kawasan ini agak unik berbanding kawasan lain kerana lazimnya kerbau dipelihara di sekitar kawasan sawah. Bukan sahaja mengundang padah tetapi menimbulkan masalah kotoran najisnya yang dibuang di tengah jalan,” ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Abdul Pattah Hasbulah berkata, pihaknya memberi perhatian khusus terhadap aduan orang ramai itu dan operasi menangkap haiwan ternakan berkeliaran telah dibuat setiap minggu.

Bagaimanapun, katanya, operasi menangkap kerbau lebih sukar kerana haiwan itu lebih besar dan agresif sehingga merisikokan keselamatan para pegawainya.

“MDPP akan bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi melakukan operasi bersepadu menangkap haiwan ternakan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya