PUTRAJAYA: Bermula cetusan idea daripada bola gim, lima petugas Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, Kelantan berjaya mereka bentuk inovasi katil berdiri untuk senaman fisioterapi.
Malah, katil mudah alih dengan berat kurang 20 kilogram itu ternyata efektif untuk proses rawatan pemulihan pesakit kanak-kanak istimewa bagi melatih mereka dalam posisi berdiri.
Pencipta produk itu, Norfatanah Abdullah Sani berkata, sebelum ini, jurufisioterapi menggunakan bola gim tetapi kaedah itu banyak kelemahan.
“Dari situ, kami bincang sebelum buat prototaip pertama pada 2015,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Hari Inovasi Kementerian Kesihatan 2020 oleh Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba di sini, hari ini.
Produk inovasi ciptaan kumpulan dikenali TA Power itu dinobatkan pemenang Anugerah Perdana Inovasi 2020 dengan membawa pulang hadiah trofi, sijil dan wang tunai RM20,000.
Anugerah tertinggi itu mula diperkenal pada 2010 lalu dan setakat ini, dua pemenang meraihnya dengan kali pertama oleh pasukan Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 2019.
Turut terlibat dalam kumpulan tersebut ialah Masnor Mat Daud, Rosliza Isahak, Zulkifli Yunus dan Nazri Ghazali Azmi dengan projek disokong Pengarah hospital itu, Dr. Noor Muhamad. – UTUSAN ONLINE