Kapten, anak kapal didakwa seludup rokok RM47.1 juta - Utusan Malaysia

Kapten, anak kapal didakwa seludup rokok RM47.1 juta

WARGANEGARA Singapura, Seah Tien Lye (kanan) dan warga Myanmar, Myint Aung (kiri) didakwa atas tuduhan terlibat dalam penyeludupan rokok terbesar dalam sebuah kapal kargo di Mahkamah Majistret di Pontian, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Dua lelaki masing-masing seorang warga Myanmar dan seorang warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menyeludup pelbagai jenis rokok bernilai RM47.1 juta pada awal bulan ini.

Tertuduh, Myint Aung, 55, yang merupakan kapten kapal dan Seah Tien Lye, 48, seorang anak kapal membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret, Nur Azzuin Abdul Moati.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka melakukan kesalahan itu atas kapal MV Chita di kedudukan tiga batu nautika barat daya, Pulau Kukup pada pukul 8.15 malam, 8 Mac lalu.

Mereka didakwa menyeludup pelbagai jenis rokok iaitu U2 Merah, Ran Bold, D-Gi Full Flavour, D-Gi Menthol dan L.A Light/Merah yang didapati tidak berduti kastam.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam dan tidak lebih dari 20 kali ganda daripada amaun duti kastam atau dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang dengan syarat dua penjamin tempatan, pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan kedua-dua tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap Isnin sehingga kes selesai.

Nur Azzuin turut menetapkan tarikh 21 April ini bagi sebutan semula kes.

Sementara itu, pertuduhan terhadap sembilan lagi anak kapal sama berusia antara 22 hingga 46 tahun ditangguh ke 21 April bagi mendapatkan jurubahasa Myanmar ekoran kesemua tertuduh tidak memahami bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dewi Jasmine Amalina Ahmad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hamizi Mohd. Yusof dan Ahmad Khairuddin Khalid.

Pada 10 Mac lalu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar memberitahu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya melakukan rampasan rokok seludup terbesar dalam sejarah negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN