Kapal tangki Hong Kong ditahan berlabuh tanpa izin - Utusan Malaysia

Kapal tangki Hong Kong ditahan berlabuh tanpa izin

KAPAL tangki antara yang pernah ditahan Maritim Malaysia kerana dipercayai bersauh tanpa kebenaran dan pemindahan minyak secara tidak sah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tindakan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Hong Kong berlabuh tanpa izin di perairan Selangor mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam.

Kapal itu ditahan sekitar tujuh batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong, dekat sini, pada pukul 1.15 tengah hari.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, penahanan itu dilakukan ketika pihaknya menjalankan rondaan rutin Op Ehsan di sekitar perairan berkenaan.

Menurutnya, kapal yang sedang berlabuh itu dikesan hasil maklumat dan kerjasama Jabatan Laut Wilayah Tengah.

“Pemeriksaan mendapati kapal ini dinaiki seramai 21 kru lelaki termasuk nakhoda warga China dan Bangladesh. 

“Mereka yang berusia 26 hingga 59 tahun ini memiliki dokumen pengenalan diri sah, namun, gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohammad Rosli, siasatan mendapati pelabuhan terakhir kapal itu dari Dumai, Indonesia menuju ke Pelabuhan Klang.  

“Perintah penahanan ke atas kapal ini telah dikeluarkan untuk tindakan lanjut. Dua kru kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor bagi membantu siasatan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia. Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, pihaknya telah memberikan amaran kepada pemilik dan ejen kapal, namun, masih terdapat yang berdegil melanggar peraturan itu.

“Kita sentiasa memandang serius pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Selangor.

“Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut sebelum melabuhkan sauh dan mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya